Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Kembalikan Semangat Rukun Negara

1184
SHARE

1. Mana-mana negara pun di dalam dunia ini mempunyai cara tersendiri untuk menetapkan ciri-ciri warganegaranya agar mempunyai jati diri. Sebagaimana Pancasila di Indonesia, Malaysia juga menetapkan ciri-ciri warganegaranya agar selari dan mampu berharmoni antara satu sama lain.

2. Antara resepi perpaduan negara ini adalah kerana rakyatnya berpegang teguh pada Rukun Negara. Kerukunan dan kestabilan negara adalah antara sebab utama pengisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-13. Majlis Gerakan Negara mengambil pengajaran peristiwa 13 Mei 1969 yang membawa kepada rusuhan kaum lalu mewujudkan Rukun Negara.

3. Rukun Negara merupakan tonggak ke arah keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia. Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama lebih kepada pengukuhan semangat perpaduan manakala bahagian dua adalah pengukuhan jati diri rakyat Malaysia. Dua aspek ini sangat penting dalam mengukuhkan semangat kekitaan dan semangat cintakan negara Malaysia.

4. Jati diri rakyat Malaysia yang dimaksudkan adalah pertama Kepercayaan kepada Tuhan. Seluruh rakyat Malaysia seharusnya mengamalkan agama masing-masing dengan tekun.  Islam sebagai agama persekutuan, namun penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing tanpa rasa takut. Namun begitu, dalam pengamalan agama tersebut haruslah menghormati agama orang lain dan menghormati hak penganut agama Islam sebagai agama majoriti di Malaysia.

5. Kesetiaan kepada Raja dan Negara merupakan peringatan kepada semua rakyat untuk menghormati kedaulatan seorang raja yang memayungi rakyat jelata. Raja merupakan tiang dan tempat rakyat berpaut ketika krisis melanda kerajaan Malaysia. Kepentingan seorang raja dapat dilihat sewaktu Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, Tun Mahathir Mohamad meletakkan jawatan di mana Yang Dipertuan Agong telah menjadi penyelesai krisis yang berkesan dan berjaya menamatkan kemelut tersebut. Setiap rakyat juga harus setia kepada negara dengan mengelakkan diri dari terlibat dengan rasuah yang bakal menghancurkan negara. Negara yang penuh rasuah bukan sahaja boleh menjatuhkan ekonomi malahan boleh membahayakan keselamatan rakyat.

6. Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang umpama kontrak sosial semua rakyat Malaysia. Dengan menghormati, memahami dan menghargai undang-undang yang berlandaskan perlembagaan Malaysia, rakyat boleh berpaut pada prinsip keadilan untuk semua kaum. Setiap rakyat harus dilayan secara sama rata dan saksama tidak mengira bangsa, agama dan kedudukan sosial.

7. Kesopanan dan Kesusilaan juga ditekankan dalam Rukun Negara Malaysia memandangkan negara ini merupakan negara timur yang kaya dengan budi bahasa. Seharusnya budaya hormat-menghormati antara satu sama lain kuat berakar dalam jiwa semua rakyat. Ia sepatutnya boleh dilihat dari parlimen ke jalanan. Budaya samseng, bercakap perkataan kurang sopan, mencarut dan keganasan bukanlah budaya rakyat Malaysia. Apatahlagi jika dengan sengaja menghina jata negara, bendera Malaysia dan Raja-Raja di negara ini.

8. Melihatkan kepentingan Rukun Negara Malaysia dalam mengembalikan keharmonian dan kesepakatan kaum di Malaysia, Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan ini mengajak semua rakyat Malaysia untuk kembali menghayati Rukun Negara kita. Semoga kita berjaya memperolehi jati diri yang diharapkan dengan memahami dan menghayati Rukun Negara.

Dr Najihatussalehah Ahmad
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Ogos 2020
18 Zulhijjah 1441H

#IslamMemimpinWanitaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MuafakatNasional