Memikul amanah sebagai Pengarah Operasi Jentera PAS dalam PRK Semenyih baru-baru ini merupakan satu tugas yang sangat berat dan penuh mencabar namun sarat mengumpul pengalaman dan iktibar yang sungguh bernilai.
Menjadi jentera sokongan membantu Jentera Umno/BN dalam PRK ini adalah sesuatu yang baru menambah rencamkan lagi tugas berat yang perlu dipikul.
60 tahun lebih PAS berbalah dengan Umno di gelanggang politik, tiba-tiba di Semenyih PAS diarahkan membantu Umno. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, namun bacaan politik pimpinan tertinggi yang pastinya dihasilkan dari menelaah hukum dan maslahah insyallah punya hikmah.
Yang penting ikhlas, sabar dan istiqamah.
Jentera Umno pula teryata faham akan kepentingan kerjasama ini demi masadepan politik kedua parti disamping membela nasib dan masa depan ummah yang semakin terancam.
Kemesraan kedua belah pihak menjalin hubungan dan menjunjung kerjasama politik ini dengan penuh tertib dan tekun telah membakar semangat dan memberi pengharapan bahawa rupanya bila masing-masing berpegang pada azam yang sama tidak mustahil kemenangan mampu dikecapi.
Rakyat di luar pula khasnya para pengundi Melayu Islam Semenyih rupanya menunggu-nunggu kerjasama ini juga barangkali sepanjang 60 tahun lalu dan di Semenyih tembuk permusuhan kedua parti roboh buat pertama kali atas keinsafan untuk bangkit memperjuang dan membela nasib dan maruah ummah.
Semua yang dibincang, dirancang dan diputuskan kedua pihak secara muafakat lancar dilaksanakan berkat kepimpinan yang kental dan berjiwa waja.
Terima kasih tidak terhingga pada Dato Seri Ismail Sabri, Dato Takiyuddin Hassan, Datuk Ahmad Nadzari, Ustaz Sallehen, Dato Johan dan Dr Che Rosli.
Tidak lupa YB Rizam, YB Dato Rosni, YB Dato Dr Ahmad Yunos, Hj Abd Halim Omar, Kak Wan Hasrina dan Ust Syarhan yang terlibat langsung membuktikan kerjasama ini tidak mustahil malah boleh dipacu hingga berjaya.
Saya secara peribadi mahu merakamkan penghargaan kepada seluruh pegawai dan petugas sokongan dari kedua parti yang tidak jemu-jemu menjalankan tugas dengan penuh komitmen.
Tidak lupa pada Jentera Pilihanraya PAS Negeri, JPRK Hulu Langat bawah Sdr Hj Norizan, Jentera JPRD Semenyih bawah Sdr Nazar, Dewan Pemuda; Muslimat, Ulamak dan DHPP Selangor serta semua yg lain kawasan bantu, negeri bantu dan pimpinan pelbagai peringkat.
Terpahat dalam ingatan saya jasa dan sumbangan “unsung heroes” yang bagi saya adalah benteng sebenar kejayaan di Semenyih walau berkerja di belakang tabir iaitu SU Kerja saya Sdr Zaim dan Cik Syarifah, Pegawai BO Hj Azmi H.Langat, petugas keselamatan KEPS Selangor bawah Hj Azmi dan Briged Muslimat, JAM Selangor, Ameerah dan semua sukarelawan yang terbilang.
Penghargaan juga pada team media baru iaitu Urusetia Penerangan JPRN bawah Puan Arin dan Team Istiqamah.
Bulat air kerana pembetung bulat kata kerana muafakat, rupanya apabila tenaga dan kekuatan dua parti Melayu Islam terbesar ini berjaya disatukan tidak ada apa rintangan apalagi halangan, fitnah, penipuan dan adu domba yang dapat menghalang gelombang kebangkitannya.
Terbukti di Semenyih pahit maung dan penat jerih apabila ditempuh dengan keyakinan dan jatidiri Melayu Islam yang kukuh tiada yang mustahil.
Alhamdulillah, apabila yakin berpegang erat pada tali Allah dan segala pecah-belah didamaikan, persaudaraan Islam dibentuk oleh Allah swt dan lahirlah kemenangan yang sebenar yang dijanjikan Nya.
Kemenangan di Semenyih adalah kenenangan Ummah. Referendum rakyat yang menolak penipuan dan fitnah yang melampau. Dan yang paling utama tuntutan rakyat mahu melihat PAS dan Umno duduk bermuafakat dan berkerjasama telah termakbul.
Jangan persiakan tuntutan ini.
Semenyih memberi isyarat yang jelas dan tegas. Orang Melayu Islam perlu bersatu dan PAS serta Umno adalah tonggak kekuatannya yang dinanti-nantikan.
Terima kasih semua. Semenyih bukan penutup tetapi permulaan kebangkitan rakyat yang bakal merobohkan keangkuhan dan kesombongan PH yang didominasi DAP itu.
Allahu Akbar
*ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR*
Pengarah Operasi PAS PRK Semenyih/ Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Selangor