Home Artikel PAS Selangor

KELEMAHAN KERAJAAN PUNCA PENGHINAAN TERHADAP ISLAM DAN NABI SAW

1828
SHARE

Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim

Firman Allah SWT dalam surah An Nisa’ ayat 58,

إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا یَعِظُكُم بِهِۦۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِیعَۢا بَصِیرࣰا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

1. Kerajaan pada hari ini bukan sekadar bertanggungjawab untuk menjaga maruah negara disebabkan dakwaan bahawa negara dicemari dengan salahguna kuasa, korupsi, penyelewangan dan kepincangan.

2. Rakyat meletakkan setinggi-tinggi pengharapan kepada pemerintah supaya mereka dapat menjaga dan memelihara kepentingan dan hak yang patut ditunaikan dan dipastikan agar negara dan rakyat menikmati kebaikan dan kesejahteraan.

3. Namun, bukan hanya menjaga kepentingan isi perut rakyat dan keperluan kebendaan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan, tetapi kerajaan juga memikul bebanan untuk memelihara maruah agama dan kesucian Islam.

4. Kerajaan dari sudut pandangan Islam adalah pihak yang berkewajiban untuk Memelihara ad Din iaitu asas ajaran Islam yang bersifat usul dan juga perkara yang disepakati oleh para ulamak.

5. Kerajaan mesti mengambil peranan ketika munculnya seseorang yang mengadakan bidaah perkara agama yang usul (asas) atau munculnya penyeleweng yang meragukan urusan agama di kalangan umat Islam.

6. Tugas kerajaan untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya, melaksanakan fungsi Islam dan menegakkan hukuman Islam supaya agama Islam terpelihara dan orang ramai terhindar daripada penyelewengan.

7. Kelemahan kerajaan dalam aspek Memelihara Ad Din ini mampu mendedahkan agama Islam kepada penyelewangan dan penghinaan.

8. Sekiranya pihak kerajaan khasnya kementerian yang dikhususkan untuk menjaga kesucian Islam dan kemuliaannya tidak mengambil berat dan peranan sebenar ini, pastinya tidak kehairanan kita akan menyaksikan bagaimana agama Islam akan dihina, diperlekeh, dikeji dan juga diseleweng.

9. Isu tuduhan umat Islam sebagai pengganas, penghinaan hukum Allah, ajaran sesat dalam perkara Aqidah dan perkara usul, penyebaran pemikiran liberalisme dan sekularisme dan yang terbaru gambar karikatur penghinaan terhadap Nabi saw di media sosial adalah manifestasi yang berpunca daripada kelemahan sikap dan keprihatinan kerajaan sebagai Pemelihara Ad Din.

10. Kelemahan ini sebenarnya berbalik kepada jatidiri kerajaan itu sendiri. Sekiranya jatidiri yang sejati dan tulen dengan keimanan yang sebenar, nescaya mereka memiliki kerohanian tinggi dan jiwa besar untuk mempertahankan kesucian ajaran dan kemuliaan Islam termasuk Nabi saw.

11. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 65-66

قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ
”Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok? Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman.”

Tafsir as Sai’di menyatakan bahawa agama dalam diri seseorang adalah tertegak dan terbina diatas sikap mengagungkan dan memuliakan Allah, agamaNya dan juga Nabi dan RasulNya.

12. Merendah dan juga menghina Allah, Agama Islam dan NabiNya mampu meruntuhkan keimanan dan pegangan agama dalam diri seseorang dan ia memang sikap kekufuran.

13. Sikap berdiam diri, merestui perbuatan atau bersetuju terhadap penghinaan terhadap perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku kepada sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang yang akidahnya beragama Islam.

14. Penghinaan terbaharu terhadap Nabi Muhammad saw yang digambarkan dengan rupa yang tidak berpakaian sambil memegang tangan seorang kanak-kanak yang didakwa Saidatina Aishah kononnya Nabi Muhammad saw adalah pedofil merupakan rentetan kurangnya kepekaan dan tidak seriusnya sikap kerajaan untuk mempertahankan agama Islam.

15. Dakwaan pedofil terhadap Nabi saw oleh seorang rakyat bukan Islam dalam negara ini samada dengan sengaja atau kerana kurang maklumat untuk menyokong tuduhannya kononnya Islam menggalakkan perkahwinan bawah umur adalah tidak munasabah dan relevan.

16. Sedangkan menurut fakta statistik perangkaan Perkahwinan Bawah Umur mengikut Agama di Malaysia yang dikeluarkan pada 2017 oleh Kementerian Pembangunan dan Kemajuan Masyarakat menunjukkan bahawa daripada 1845 kanak-kanak yang dilaporkan berkahwin bawah umur, seramai 968 adalah dari kalangan yang bukan Islam dan sebaliknya hanya 877 kanak-kanak Islam.

17. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa penghinaan Nabi saw dengan pedofil adalah semata-mata penghinaan terhadap Islam dan bukannya kerana kesilapan atau salahfaham fakta.

18. Kerajaan tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab memelihara kesucian Islam dan membiarkan penghinaan terhadap Nabi saw ini kepada rakyat sahaja atau pendakwah, atau NGO atau lelainnya. Kerajaan mesti bersikap proaktif dan bertindak sewajarnya samada menerusi penerangan, membetulkan salah faham ini melalui media rasmi, malah menegakkan undang-undang yang sedia ada untuk mengekang unsur-unsur yang mencetuskan rusuhan dan permusuhan antara agama dan kaum di negara ini.

19. PAS bersama seluruh umat Islam di negara ini yang prihatin begitu khuatir dengan situasi sekarang, melihat begitu rancak penghinaan demi penghinaan terhadap Islam dan tambahanlagi sehingga kini pihak berwajib seperti Badan Kehakiman dan Pejabat Peguam Negara amat diragui untuk mempertahankan apa sahaja yang berjenama Islam.

” Pertahankan Kemuliaan Nabi Junjungan Besar Muhammad saw “

” Islam Memimpin “

Penulis adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.
20 Febuari 2019.