Home Berita PAS Pahang

Kelab Memanah PASKD adakan Ujian Terbuka 5.0

286
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 7 Feb :: Kelab Memanah PAS Cawangan Sungai Karang Darat (PASKD) telah mengadakan Ujian Memanah 5.0 secara terbuka disertai seramai 60 orang peserta di Sungai Karang, Kuantan baru-baru ini.

Selain dari negeri Pahang, turut serta juga adalah Terengganu, Selangor, Wilayah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perlis.

Ketua Cawangan PASKD Ustaz Ruhazan Yusof berkata program tersebut terbuka kepada kelab-kelab memanah di seluruh Malaysia dan juga perseorangan.

Menurut beliau lagi, tiada yuran penyertaan dikenakan untuk pertandingan yang diadakan. Sumbangan hanya dalam bentuk infak iaitu konsep yang telah diamalkan oleh Parti PAS sebagaimana ditarbiahkan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Sesungguhnya pada sedekah dan infak itu penuh barakah dan keberkatan. Dengan cara ini dapat kami mengajar ahli-ahli untuk bersedekah dan berinfak baik harta dan tenaga, kerana bila mereka memperolehi dengan cara infak dan sedekah mereka lebih menyayangi dan menghargainya,” tambah Ustaz Ruhaizan lagi.

Kelab Memanah PASKD telah ditubuh pada tahun 2020 dengan keahlian seramai 24 orang. Hampir semua ahli kelab merupakan mereka yang tinggal di cawangan ini, tetapi ada juga yang daripada Paya Besar dan Balok menjadi sebahagian dari keluarga besar kelab memanah ini.

“Moto kami PASKD FOR ALL, ALL FOR PASKD memberi maksud kami membuka dan menerima sesiapa sahaja baik dari cawangan lain atau individu untuk menjadi ahli serta bersama kami dalam menghidupkan sukan sunah ini,” ujar Ruhaizan.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Andansura Rabu yang hadir dalam program ini mengucapkan syabas kepada PASKD di atas daya usaha berterusan mereka mempromosi sukan memanah ini melalui pelbagai program yang telah dianjurkan.

“Syabas dan tahniah juga kepada para peserta yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk berukhwah dalam satu bidang yang diminati bersama.

“Program ini sangat baik untuk menarik anak-anak muda menggunakan masa di sini sambil menghidupkan sukan sunah yang patut dipelajari dan dikuasai.

“Di samping itu dapat membuka ruang kepada mereka untuk mencari pendapatan dari hasil penjualan bow, anak panah dan pembuat busur, juga quiver iaitu tempat menyimpan anak panah,” kata Andansura lagi.

Program berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang oleh Andansura berupa wang tunai, medal dan tanjak bagi pemenang lelaki, topi tatar dan mask songket untuk pemenang wanita, hamper, jam dinding berlogo PASKD beserta hadiah barangan makanan.

Turut hadir program ini adalah Pengerusi Persatuan Pemanah Tradisional Daerah Kuantan (PETRA) Shekh Hassan Shekh Hussain, Ketua Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota Ustaz Zulfadli Zakariah, Ketua Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Indera Mahkota Mohd Izwan Abu Bakar dan Ahli Jawatan Kuasa PAS Cawangan Sungai Karang Darat.