Home Berita PAS Pahang

Kekal DUN Tawan Parlimen, PAS Paya Besar optimis

114
SHARE

Oleh : ZAHRAH YAHYA

PAYA BESAR, 5 SEPT – Gerak Gempur PAS Teraju Pahang (GG PTP) merupakan manifestasi kesungguhan PAS dan Perikatan Nasional untuk menawan Paya Besar pada PRU ke-16.

Yang Dipertua PAS Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya optimis kawasannya mampu menawan kerusi parlimen serta mengekalkan tiga DUN yang dimenangi pada PRU ke-15.

Beliau yang juga sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching berkata, prestasi yang baik di kalangan wakil rakyat PAS dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, memberi keyakinan kepada rakyat untuk PAS Teraju Pahang.

“Jadi wakil rakyat ni amanah, bukan suka-suka atau seronok-seronok, berat amanah ni, ikutkan tak mampu, tapi bila dah diberi, kita buatlah apa yang termampu.

“Pengundi pun dah cerdik sekarang ni, mereka nampak dan boleh menilai sendiri mana wakil rakyat yang boleh diharap menjadi wakil kepada rakyat, boleh buat kerja, bukan turun sekali-sekala, hanya tunjuk muka bila pilihan raya hampir tiba,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan dalam program GG PTP di DUN Pancing baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Program GG PTP Mohd Nazirul Ramli berkata, program tersebut merupakan program berkala yang dijalankan setiap bulan oleh PAS Kawasan Paya Besar.

Tambahnya, ia merangkumi tiga DUN yang dimenangi oleh PAS dan PN iaitu Panching, Sungai Lembing dan Lepar.

“Kita mendapat respond yang sangat baik dari masyarakat setempat khasnya dari pengundi-pengundi sehingga ada yang berminat untuk mengisi borang keahlian PAS,” kata Mohd Nazirul lagi.

Turut bersama dalam program ini adalah ADN Sungai Lembing Mohamad Ayub Mat Ashri bersama lebih dari 60 orang jentera pilihan raya PAS Paya Besar.