Home Berita PAS Perlis

Kejohanan Sukan SRITI: Kontinjen Perlis Catat Keputusan Membanggakan

1421
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

SUNGAI PETANI: Meskipun berstatus SRITI tunggal di negeri Perlis, Sekolah Rendah Islam (SRI) Al Furqan berjaya mencatatkan keputusan yang amat membanggakan dalam Kejohanan Sukan SRITI Peringkat Kebangsaan Kali Pertama 2018 yang berlangsung di Padang HICOM-Honda, Sungai Petani, pada 31 Ogos dan 1 September 2018.

Dibarisi seramai 45 orang atlet, kontinjen berkenaan berjaya meraih dua pingat perak serta satu pingat gangsa daripada keseluruhan enam acara yang dipertandingkan, sekaligus menjadi kontinjen kedua terbaik dari segi pungutan pingat, sepanjang kejohanan.

Pencapaian terbaik diraih oleh atlet 70 meter lelaki dan kuartet 4 x 70 meter perempuan apabila berjaya muncul sebagai pemenang pingat perak dalam acara masing-masing.

Turut menyumbang pingat adalah pasukan bola jaring yang berjaya merangkul pingat gangsa setelah menewaskan pasukan dari negeri Wilayah Persekutuan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi pasukan bola sepak SRITI Perlis yang pada peringkat awal telah dinobatkan sebagai johan kumpulan, apabila sekadar berpuas hati di tempat keempat setelah tewas kepada pasukan bola sepak SRITI Selangor.

Selain kejayaan dalam acara padang dan balapan, kontinjen SRITI Perlis juga berjaya muncul sebagai pemenang tempat ketiga dalam acara Perarakan Terbaik.

Kontinjen SRITI Negeri Selangor telah muncul sebagai Juara Keseluruhan bagi Kejohanan Sukan SRITI Peringkat Kebangsaan 2018 setelah berjaya membawa pulang lima pingat emas serta masing-masing satu pingat perak dan pingat gangsa.