Home Berita PAS Sabah

Kejohanan Sukan BSBJ serlah bakat kesukanan

206
SHARE


Oleh : Martina Tahil
20 Jun 2022

LAHAD DATU : Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring (BSBJ) PASTI Lahad Datu yang tertunda selama 2 tahun akibat pandemik telah berlangsung di sini, semalam.

Pengerusi PASTI Lahad Datu, Landari Labobo berkata, kejohanan sukan ini diadakan bagi mencungkil bakat murid-murid dalam bidang kesukanan.

“Kemeriahan sukan ini dirasai apabila ibu bapa dan keluarga memberi sorakan padu kepada pasukan masing-masing manakala guru-guru serta para jurulatih yang membimbing anak-anak menjadi pembakar semangat untuk menjaringkan gol.

“Kita mahu mempromosikan PASTI yang bukan sahaja menitikberatkan sistem pendidikan di dalam bilik darjah, bahkan murid mampu menyerlahkan bakat kesukanan mereka,” ujarnya ketika merasmikan majlis kejohanan itu.

Kesemua enam PASTI dalam daerah Lahad Datu telah berentap dalam kejohanan kali ini. Dalam pertandingan bola sepak, johan disandang oleh PASTI Al-Hidayah, tempat kedua PASTI Al-Falah manakala ketiga PASTI Al- Fateh.

Aqief Muzaffar Abdul Malik daripada PASTI Al-Hidayah telah terpilih sebagai pemain terbaik bola sepak atas kecekapannya bermain selain telah menjaringkan gol sebanyak 10 jaringan.

Bagi pertandingan bola jaring pula, johan disandang oleh PASTI An-Najah, tempat kedua PASTI Al-Falah dan ketiga PASTI Al-Hidayah.

Pemain terbaik bagi perlawanan bola jaring disandang oleh Hurrun Ain Nadia Yasin daripada PASTI An-Najah yang telah menjaringkan bola sebanyak 20 jaringan sepanjang perlawanan.

Tiga pasukan pemenang bola sepak dan bola jaring akan mewakili PASTI Lahad Datu bagi perlawanan peringkat zon yang akan berlangsung di Kinabatangan pada 26 Jun nanti.