Oleh : Anna Tan
TAWAU 29 April – Bermula dengan hanya sebuah PASTI di Jalan Kuhara dengan bilangan pelajar tidak sampai 20 orang pada tahun 1989.
Kini jumlah pelajar PASTI Kawasan Tawau bertambah dengan jumlah yang amat membanggakan sekali dengan mencatat jumlah pelajar melebihi angka tiga ribu orang dari 26 buah PASTI.
Perkembangan ini merupakan satu kejayaan yang perlu dipertahankan dan dipertingkatkan, kata AJK Pas Pusat, Tuan Mohamad Bin Husain , merangkap YDP Pas Kawasan , ketika berucap merasmikan Temasya Sukaneka PASTI Kawasan Tawau, di sini , semalam.
Menurut beliau, kemajuan PASTI adalah hasil kerjasama dari semua pihak, termasuk Ibubapa, Guru-guru, Dewan Pemuda PAS Kawasan, Dewan Muslimat PAS Kawasan serta semua ahli dan penyokong PAS.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa kejayaan tersebut perlu dipertahankan bersama-sama agar usaha menyediakan pendidikan dan biah solehah kepada anak-anak akan terus wujud.
Beliau juga mengingatkan hadirin agar menjadikan sukan sebagai satu budaya hidup sihat.
Ini kerana, kesihatan merupakan satu elemen yang penting demi kemajuan negara.
Temasya Sukaneka PASTI Kawasan Tawau berlangsung selama 2 hari pada 27 dan 28 April di Padang Majlis Perbandaran Tawau.
Dalam Temasya tersebut PASTI Nurul Izzah Jalan Saddani telah muncul sebagai Juara Keseluruhan bagi Kumpulan A.
Manakala PASTI Nurul Iman , Tg Batu Darat muncul sebagai Juara Keseluruhan Kumpulan B.