Home Berita PAS Terengganu

Kebenaran memperluaskan aktiviti keagamaan di masjid dan surau dalam Terengganu

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM)Terengganu  bersetuju untuk memperluaskan aktiviti keagamaan di masjid dan surau dalam negeri berkuatkuasa serta merta.

Yang Dipertuanya, Dato’ Osman Muda berkata, kebenaran pelaksanaan itu diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin susulan perluasan aktiviti keagamaan dalam tempoh fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau dibenarkan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan Dan Keselamatan yang ditetapkan.

“Dalam masa yang sama, semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan bacaan Surah Yasin setiap malam Jumaat.

“Majlis akad nikah di masjid, surau dan premis persendirian juga dibenarkan dengan mengikut garis panduan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, kebenaran juga diberikan kepada semua Institusi Pondok, Madrasah dan Pusat Tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk menjalankan sesi Pengajaran
dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka tertakluk kepada SOP Kesihatan dan Keselamatan yang ditetapkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM).

Osman turut menegaskan, masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan mengikut Seksyen 18, (1), (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

Dalam masa yang sama, aktiviti ziarah kubur dibenarkan  dengan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan dan
Keselamatan dipatuhi.