Home Berita PAS Pulau Pinang

Kebajikan rakyat peranan bersama

59
SHARE

PERMATANG PAUH, 25 April: PAS Kawasan bersama Jentera Pilihanraya Parlimen Permatang Pauh, telah menziarahi masyarakat setempat di beberapa lokasi iaitu di Bukit Inderamuda, Kepala Bukit, Taman Guar Perahu Indah dan Padang Ibu.

Mereka yang dikunjungi terdiri dari kalangan golongan miskin yang hidup dalam kesempitan, warga tua yang sakit, ibu tunggal serta anak yatim.

Prihatin akan situasi golongan yang memerlukan ini, kunjungan ini bertujuan memberi manfaat dan kegembiraan kepada mereka, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan menekankan akan pentingnya ahli-ahli PAS di setiap lokasi atau cawangan berperanan sebagai agen atau perantara dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat sentiasa diambil perhatian dan tindakan.

Tambahnya lagi, program ziarah ini merupakan dakwah rutin bagi PAS Permatang Pauh dalam mendidik masyarakat agar mengamalkan cara hidup Islam yang syumul dan menerapkan nilai-nilai murni.

Antara pimpinan yang turut sama menyantuni dan menyampaikan sumbangan barang keperluan harian pada kali ini ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama’ PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhamad Zakaria Hamzah, Timbalan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Haji Amir Hamzah Abdul Hashim serta Ketua dan Setiausaha Jentera Pilihanraya Parlimen, Mokhtar Muhamad dan Abdul Hakim Hassan.