Home Kenyataan Media PAS Selangor

KEADILAN UNTUK ALLAHYARHAM ADIB : YANG TERBABIT MESTI DIHADAPKAN KE MUKA PENGADILAN

115 views
SHARE

SALAM TAKZIAH

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasa berdukacita dan merakamkan takziah ke atas keluarga allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang menjadi mangsa rusuhan kuil Sri Mariamman.

Pemergian beliau sememangnya ditangisi oleh seluruh rakyat Malaysia atas pengorbanan bakti beliau sepanjang berkhidmat sebagai anggota bomba dan penyelamat. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan kalangan orang soleh.

Sejak kecederaan teruk yang ditanggung oleh allahyarham telah menjadi berita hangat yang ditularkan kalangan masyarakat. Namun sehingga kini tiada lagi pesalah yang disabitkan hukuman. Sudah pasti perkara sebegini tidak dapat dimaafkan dan dibiarkan begitu sahaja.

Rusuhan yang tercetus telah menjadi tragedi yang meragut nyawa seorang yang tidak bersalah. Namun atas kepentingan sebahagian pihak dalam isu rusuhan kuil tersebut akhirnya telah “memperjudikan” nyawa allahyarham Muhammad Adib.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak agar keadilan atas allahyarham dan keluarga beliau ditegakkan. Siapa sahaja yang terbabit dalam isu rusuhan tersebut termasuklah menteri yang sangat celupar dalam kenyataannya dengan sengaja membangkitkan isu rasis, serta pihak berkuasa tempatan bersama pentadbiran kuil mesti dihadapkan ke perbicaraan dengan telus tanpa ada kompromi. Siasatan yang serius mesti ditangani dengan segera agar isu ini tidak membarah.

Adakah ini nilai yang mesti dibayar demi sebuah Malaysia Baharu namun dilihat gagal menjaga perpaduan kalangan rakyat oleh Menteri Perpaduan? Jangan lepas tangan dalam hal ini, rakyat mahukan keadilan untuk allahyarham. Malah rakyat pastinya akan bangkit bersatu dalam menuntut agar pesalah dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Jangan permainkan kesabaran rakyat dengan cara memanipulasi isu dan berita yang tidak benar berkaitan isu rusuhan kuil tersebut. Rakyat pastinya tidak akan terus berdiam diri setelah terkorbannya nyawa seorang yang tidak bersalah gara-gara kepentingan politik pihak tertentu.

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

10 Rabiul Akhir 1440H | 18 Disember 2018