Home Rencana PAS Selangor

KDYMM Sultan Selangor saran jauhi sifat hasad dengki – TPJ 3 PAS Selangor

129
SHARE

May be an image of 1 person and standing

Ruangan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor Prof Madya Dr Fuad Mohd Salleh | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh
Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor

Umat Islam perlu mencontohi sifat-sifat terpuji Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dengan membuang segala sifat-sifat negatif yang ada pada diri kita. Dalam titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyebut ia termasuk sifat hasad dengki dan fitnah memfitnah yang dilakukan antara satu sama lain khususnya di media-media sosial. Titah baginda situasi itu boleh meruntuhkan perpaduan sesama ummah dan memberi kesan yang buruk khususnya kepada generasi akan datang.

“Jauhilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik,” titah baginda. Ini intipati titah Sultan Selangor sempena Sambutan Maaal Hijrah 1443.

Titah Sultan Selangor ini mempunyai persamaan dengan teguran Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tegas memberi peringatan bahawa situasi negara yang bergelut dengan wabak COVID-19 bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa.

Ketiga-tiga Sultan ini membuat teguran secara langsung apabila ada pihak yang sengaja menimbulkan fitnah di media sosial dengan tujuan untuk menimbulkan keresahan orang ramai dan dalam masa yang sama ada kalangan ahli politik yang mengambil kesempatan menggugat kerajaan dalam keadaan genting negara berhadapan dengan pandemik COVID-19. Sepatutnya semua tenaga dan buah fikiran ditumpukan kepada usaha mengurus dan mengatasi wabak yang sedang melanda negara yang telah menjangkiti lebih sejuta orang dan meragut lebih 10,000 nyawa, bukan ditumpu untuk bersengketa dan jatuh-menjatuh.

Sebagai sebuah negara yang telah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun, rakyat terutama ahli politik dan penggubal undang-undang di Parlimen dan Dewan Negeri sepatutnya lebih matang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat yang mendokong tinggi keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta ketaatan kepada raja-raja. Teguran-teguran sebegini sepatutnya dipandang serius oleh semua pihak – pemerintah, pembangkang dan rakyat keseluruhannya.

Titah Sultan Selangor lebih jelas dengan menyebutkan sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik yang secara jelas menunjukkan kekecewaan baginda dengan apa yang sedang melanda negara khususnya negeri Selangor. Selangor kini merupakan negeri tertinggi yang menyumbang angka positif COVID-19 dan negeri tertinggi yang menyumbang angka kematian akibat COVID-19. Setiap hari berpuluh-puluh kenderaan jenazah berbaris menunggu giliran mengambil jenazah di hospital-hospital seperti Hospital Klang, Sungai Buloh, Shah Alam, Ampang dan Selayang. Namun keadaan ini seperti tidak dihiraukan oleh mereka yang sedang bersengketa untuk saling jatuh-menjatuh. Lebih malang lagi ia melibatkan ahli politik Melayu beragama Islam yang sepatutnya lebih peka dengan situasi sekarang di mana lebih 60% pesakit COVID-19 sekarang adalah dalam kalangan orang Melayu beragama Islam.

Sewajarnyalah kesemua pihak yang bersengketa sekarang ini menghentikan persengketaan dan menghentikan sebara-sebaran di media sosial yang boleh mengeruhkan lagi hubungan yang sudah keruh dan meningkatkan persengketaan sesama kita.

Kembalilah ke meja rundingan kerana itu jalan terbaik menyelesaikan persengketaan. Jika Melayu Muslim terus bersengketa, yang akan untung ialah pihak yang sentiasa mahu melihat Muslim terus bersengketa dan menuju kemusnahan dan akhirnya nanti mereka akan dapat menguasai tampuk pemerintahan negara sepertimana yang pernah berlaku selepas PRU14 hingga Februari 2020. Persengketaan tidak akan membawa kemajuan dan tidak akan dapat menstabilakn negara.

Kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah keselamatan
“…Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (iaitu al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Kiamat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik kesudahannya” (an-Nisa 4: ayat ke 59)

Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda yang mafhumnya
“Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, yang kalian tidak akan sesat selepas berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitabullah dan Sunnahku.” (HR. Malik dan Al-Hakim)

Selanjutnya berpeganglah kepada Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud:

“Sungguh barangsiapa yang hidup di antara kalian akan melihat perselisihan yang banyak. (Maka) berpeganglah dengan sunnahku dan sunnah Khulafa-ur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah ia dengan gigi geraham. Hindarilah kalian hal-hal yang baru, sesungguhnya setiap hal yang baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah ada sesat.” (HR. Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmidzi, ad-Darimi, al-Baghawi dalam kitabnya Syarhus Sunnah (I/205), al-Hakim (I/95), disahihkan dan disepakati oleh Imam adz-Dzahabi, al-Albani juga mensahihkan hadis ini)

Sempena Bulan Kemerdekaan ini saya ingin menyeru semua pihak supaya kembali kepada ajaran Islam yang jelas memandu kita mencari penyelesaian. Tiada masalah yang tidak boleh dirungkai, tiada persengketaan yang tidak boleh dihentikan. Serahkan semuanya kepada Allah dan kembalilah kepada penyelesaian Islam.

3 Muharram 1443 | 12 Ogos 2021

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor