Home Artikel PAS Sabah

Kajian perkahwinan kanak-kanak dalam kalangan komuniti orang asal di Sabah

712
SHARE

1. Pada 25 Februari 2020, satu Focus Discussion Group telah diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

2. Ucaptama telah disampaikan oleh YB Jannie Lasimbang, Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah. Topik perbincangan mengenai perspektif dan rekomendasi mengenai perkahwinan kanak-kanak.

3. Perbincangan ini secara umum menyentuh faktor-faktor yang menyebabkan perkahwinan di bawah umur dalam kalangan orang asal iaitu faktor individu, keluarga dan masyarakat serta faktor dasar dan perundangan.

4. Antara isi perbincangan yang menarik perhatian saya adalah faktor dasar dan perundangan. Telah ada undang-undang syariah dan undang undang sivil yang tidak membenarkan perkahwinan di bawah umur lelaki 18 tahun dan perempuan 16 tahun bagi penganut Islam, manakala lelaki 18 tahun bagi penganut Kristian. Tetapi dalam kalangan Pagan, mereka tertakluk di bawah undang-undang adat, dan tiada had umur digariskan.

5. Perkahwinan bawah umur ini memberi implikasi kepada pendidikan pasangan yang berkahwin dari segi ekonomi, sosial, kesihatan dan institusi keluarga itu sendiri.

6. Secara dasarnya, bersesuaian dengan situasi hari ini, saya bersetuju bahawa perlu ada undang-undang yang jelas dalam menetapkan had umur perkahwinan bukan sahaja melalui undang-undang syariah dan sivil, malah juga perlu dikuatkuasakan melalui undang-undang adat.

7. Islam tidak melarang perkahwinan di bawah umur, tetapi ada syarat yang ketat perlu dipertimbangkan. Kelonggaran ini perlu ada demi mengelakkan masalah sosial yang lebih buruk seperti kelahiran anak tidak sah taraf, kecelaruan institusi kekeluargaan dan sebagainya.

8. Bagaimanapun perlu ada perincian yang spesifik mengenai pertimbangan yang perlu diambil kira dalam membenarkan perkahwinan pasangan di bawah umur bagi menjaga kemaslahatan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

9. Saya mengucapkan tahniah atas usaha baik Kementerian dengan kerjasama Facos Trust yang mengumpulkan pelbagai pihak dalam membincangkan isu ini. Kami daripada pihak Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah bersedia memberikan kerjasama berterusan dalam hal yang melibatkan kepentingan rakyat Sabah.

NORSAH BONGSU
Ketua
Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah
26 Februari 2020