SETIU – Rumah berkeadaan daif dimiliki Junaidi Daud, 49, bersama isterinya, Siti Fatimah Harun,45, mendapat perhatian daripada kerajaan untuk dibina kediaman baru.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, keputusan itu adalah yang terbaik untuk pasangan berkenaan yang kini menetap di Kampung (Kg) Che Long, Permaisuri.
Ujarnya, perkara itu akan dipastikan dilaksanakan segera melalui kerjasama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jawatankuasa Pemandu Projek (JPP).
“Insya-Allah kita akan memastikan rumah baru dapat dibina di atas tanah sama dimiliki oleh mereka dan kerajaan akan cuba dapatkan bekalan air yang turut menjadi masalah bagi keluarga ini sebelum ini.
“Kita juga akan usahakan supaya generator dapat digunakan sebagai langkah sementara kerana mereka juga turut mengalami masalah bekalan elektrik.
“Sekarang ini dengan ketiadaan bekalan air mereka bergantung kepada air hujan serta telaga yang mengalami masalah kekeringan serta bergantung bekalan air di balai raya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menghadiri Program Jelajah Kebajikan ‘Jalinan Kasih Tautan Budi’ Peringkat Daerah Setiu, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut Maliaman berkata, sepanjang jelajah yang membabitkan lima daerah, keadaan yang dihadapi oleh keluarga itu paling teruk kerana bukan sahaja menghuni rumah daif tetapi turut hidup dalam ketiadaan bekalan asas iaitu air dan elektrik.
“Di kampung-kampung lain saya rasa tidak terlalu teruk yang ini memang keadaanya sangat daif, apatah lagi Ketua Isi Rumah (KIR) menghidapi penyakit kronik dan tidak boleh bekerja dan hanya mengharapkan isteri.
“Kita harapkan agensi-agensi serta jabatan yang ada termasuk Pejabat Daerah, MAIDAM, JPP, Pusat Khidmat Masyrakat (PKM), serta jawatankuasa di bawah portfolio saya sendiri akan menyegerakan perkara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Fatimah Harun berbesar hati dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri dan terharu dengan keputusan yang diambil dan ia memberikan sinar harapan buat mereka.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan dengan penyelesaian yang diputuskan itu dapatlah kami hidup dalam keadaan lebih sempurna,” ujarnya.