Home Berita PAS Perak

JPKK dan AJK PAS kawasan diingat pentingnya hadiri Usrah atau Liqa’ Fikri

88
SHARE

Oleh Mohd Syamil Azhar

LENGGONG: Jawatankuasa Pengurusan dan Kemajuan Kampung (JPKK) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS kawasan diperingatkan supaya menghadiri program tarbiyyah, terutama usrah, liqa’ Fikri atau ijtima’ dianjurkan PAS di kawasan masing-masing.

Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Lenggong, Razman Zakaria, berkata PAS bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi juga sebagai gerakan Islam yang sangat menitikberatkan soal tarbiyyah dan dakwah.

Katanya, melalui program-program tarbiyyah setiap ahlinya akan menyedari bahawa perjuangannya bukan sekadar untuk matlamat dunia, tetapi lebih penting dari itu untuk mendapat keredaan Allah.

“Jawatan yang diberikan kepada kita bukan suatu kemuliaan, tetapi amanah untuk dipertanggungjawabkan dan untuk itu wajib bagi kita menghadiri program-program tarbiyyah.

“Melalui program-program seperti usrah, Liqa’ Fikri atau ijtima’ baru kita tahu matlamat sebenarnya perjuangan kita,” katanya berucap pada Majlis Penganugerahan Surat Penghargaan Kepada JPKK dan Watikah Perlantikan AJK Kerja PAS Kawasan Lenggong semalam.

Program sepetang yang disambung dengan Mesyuarat AJK Kerja PAS Kawasan Lenggong semalam diadakan di Dewan Merdeka Lenggong, dihadiri hampir 70 jemputan khas.

Hadir sama Timbalan dan Naib YDP PAS kawasan, Mohd Hanafiah Idris dan Mohd Jamil Yahaya, Ketua Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS kawasan, Ustaz Muhammad RIFA’AT Razman dan Salmiah Abdul Razak.

Razman yang juga Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri yang dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Perak berkata, melalui Usrah, Liqa’ Fikri atau Ijtima’ juga kita dapat mewujudkan kesatuan fikrah dan kesatuan amal dalam berjamaah.

Majlis dimulakan dengan sesi ta’aruf AJK Kerja PAS kawasan, diikuti penerangan oleh Razman sebelum bersambung dengan ta’aruf dan luahan pelbagai permasalahan di kampung masing-masing daripada lebih 30 JPKK yang hadir.

Luahan pelbagai permasalahan, seperti banjir kilat, isu-isu berkaitan tanah, pertanian, perikanan dan sebagainya, kemudiannya dijawab oleh Razman untuk tindakan-tindakan selanjutnya.

Majlis yang diadakan mengikut SOP ditetapkan itu diakhiri dengan penyampaian surat penghargaan, watikah perlantikan dan cenderahati kepada para penerima serta sesi bergambar.