Home Berita PAS Terengganu

JPKK Bantu Orang Ramai Suntik Vaksin

178
SHARE

KUALA TERENGGANU, –  Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terus memainkan peranan proaktif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Bendahari JPKK Lorong Tekukur, Adnan Sulong berkata pihaknya melakukan pelbagai cara untuk menjadikan masyarakat bersikap positif terhadap kepentingan mendapatkan suntikan vaksin.

“Antaranya dengan menggerakkan grup ‘WhatsApp’ komuniti Lorong Tekukur, seterusnya kepada grup ‘WhatsApp’ taman-taman dengan mewar-warkan kepentingan vaksinasi ini,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Dengan itu kata beliau, pihaknya dapat mengenal pasti dan seterusnya membantu mereka yang menghadapi masalah untuk membuat pendaftaran suntikan vaksin COVID-19.

WAN MOKHTAR

Sementara itu, Pengerusi JPKK Bukit Bayas, Wan Mokhtar Wan Kadir pula berkata, hebahan-hebahan melalui masjid  juga diadakan dengan pengedaran risalah tentang kepentingan mengambil suntikan vaksin COVID-19.

“Di samping itu kita juga mengadakan lawatan dari rumah ke rumah yang diketahui ada warga emas, di mana kebanyakan mereka tidak mendaftar MySejahtera, jadi kita tolong mendaftarkan mereka yang layak dengan menyediakan borang-borang pendaftaran.

“Kita juga mengharapkan anak-anak, saudara mara dan juga jiran tetangga dapat membantu warga emas di dalam memberi kesedaran dan seterusnya mengambil suntikan vaksin,” ujarnya lagi.