Home Berita PAS Sarawak

Jofri bersama PAS Sarawak gotong royong sambut Hari Asyura

52
SHARE

Oleh : Abdul Qayyum Ridhuan

KUCHING, 29 Julai: Lajnah Kebajikan PAS Sarawak telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program Mengacau Bubur Asyura bersama-sama di Kampung Siol Kandis disamping meraikan kehadiran Pesuruhjaya PAS Sarawak yang turun ke Kuching, pagi semalam.

Program bermula dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Sarawak, Rashidi Harun dengan memperingati sirah Nabawi akan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 hari pada bulan Muhaaram.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Petra Jaya dan Ahli Jawatankuasa PAS Petra Jaya. Kehadiran istimewa mereka telah berjaya merapatkan lagi ukhuwah dan mahabah antara semua komuniti yang hadir.

Menurut Firdaus Abu selaku pengarah program tersebut berkata, “Selain aktiviti kebiasaan yang dilakukan seperti usrah dan Liqa Fikri, aktiviti gotong royong ini dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah di dalam diri.”

Tambah beliau, program ini bertujuan memupuk penghayatan sejarah berlakunya Hari Asyura, serta meningkatkan ukhuwah dan silaturrahim antara ahli PAS dan komuniti yang hadir.

Jofri Jaraiee selaku Pesuruhjaya PAS Sarawak juga turut mengambil kesempatan menyerikan majlis dengan menyampaikan sumbangan kepada beberapa penerima yang berkelayakan.

Di akhir program tersebut, pengagihan bubur Asyura diedarkan oleh  Pemuda PAS Petra Jaya kepada lebih 80 ahli-ahli PAS Cawangan dan masyarakat setempat yang hadir dengan harapan ia menjadi sebahagian usaha kebajikan dan mengerat hubungan bersama masyarakat sekeliling.