Home Artikel PAS Terengganu

Jiwa Saya Tetap Bersama Madrasah DAR’

393
SHARE

Ustaz Nik Muhammad Nasri

Dungun, 23 Nov 2019- ‘Walaupun sudah tidak lagi menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, namun hati saya tetap sentiasa berfikir tentang madrasah DAR dan kebajikan gurunya, yang membuatkan saya tidak dapat tidur.’ tegas YB Senator Dato’ Hj Husain Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam ucapan perasmian Sambutan Anugerah Ilmu DAR peringkat negeri Terengganu di Dewan Majlis Perbandaran Dungun pagi ini.

‘Sudah 12 tahun kita meraikan kejayaan anak-anak melalui Ihtifal ini. Kita bersyukur kepada Allah atas kejayaan ini. DAR sudah bermula sejak tahun 1987. Paling tua DAR Batu 6, DAR Kemaman, seterusnya DAR lain. Ketika itu tekanan politik hebat. Kemunculan DAR tidak diyakini sangat oleh masyarakat. Bila muncul Maahad Darul Quran, ada yang bertanya ke mana halatuju Maahad. Bagi pemimpin, tentu ada perancangan masa depan dengan melihat tenaga manusia yang ada, kewangan dan ruang yang diizin oleh undang-undang. Kita tidak menentang undang-undang negara kerana kita tidak berhasrat menzalimi anak-anak.’ terang beliau lagi.

‘Saya juga ditanya ke mana anak-anak ini nak dibawa? Saya jawab: Masa
masih panjang. Namun, kita yakin Allah akan tunjuk jalan kerana apa yang kita buat kerana Allah. Alhamdulillah, semakin lama sekolah kita jadi tumpuan. Permohonan masuk sekolah hingga kini bertalu-talu dan penuh, dan ada yang masih pohon. Bahkan ada DAR nak masuk pendaftaran 2021 ada yang dah tutup.’ jelas beliau lagi.

Dato’ Husain mengucapkan jutaan terimakasih kepada guru-guru yang telah melaksanakan usaha yang gigih, sehingga diyakini oleh masyarakat, walaupun sekolah DAR dari segi fizikal ini ada yang daif, guru yang agak sukar dari segi keupayaan ekonomi.

‘Namun, ada 2 kelebihan pada tenaga DAR ini iaitu iman kepada Allah untuk tunaikan tanggungjawab, dan yang kedua, adanya sifat ikhlas. Tanpa ikhlas, dengan pendapatan yang tak menentu, fizikal yang daif, tentu guru-guru ini sudah lama berhenti. Namun, lama kelamaan sekolah kita makin maju. Saya harap perjalanan sekolah kita lebih baik dari hanya ucapan tahniah yang diberi ini.’ ujar beliau.

Dato’ Husain juga menyebut bahawa DAR berbeza sedikit dengan aliran sistem pendidikan yang ada. Sistem pendidikan perdana yang berlaku ada yang kekurangan. IItulah yang ditampung oleh DAR.

‘Di zaman Nabi, sistemnya melahirkan manusia yang ada iman kukuh, ilmu yang hebat, generasi yang bersedia berkhidmat di jalan Allah, menjadi khair ummah. Kita nak lahirkan insan soleh. Insan soleh ini ada 3 ciri utama- iman, Islam, ihsan. Inilah ajaran asas, prinsip yang diajar oleh Nabi dalam hadis Jibril yang masyhur. Aliran agama ada tetapi tidak mengikut jalan Islam sebenar, tiada bentuk ‘ihsan’ kepada Allah. Merasai Allah melihat mereka. Ijazah hebat, tetapi rasuah dibuat. Belajar agama, tetapi buat kesalahan tanpa sedar Allah melihat. Inilah peranan sebenar yang sepatutnya dibuat oleh sekolah kita dan yang kita mahu, iaitu lahir sifat ihsan.
Setakat ini lepasan DAR, hampir semua menunjukkan akhlak, menurut perjuangan kita dan menyumbang dalam masyarakat’ tegas beliau lanjut.

Beliau juga menyebut tentang
cabaran yang diterima. Pertama ialah bila PAS menjadi kerajaan. DAR di bawah Dewan Ulamak PAS Terengganu sudah ada 11 buah.

‘Soalannya bila kita jadi kerajaan, perlukan kita tadbir sekolah lagi? Ya, kita kena teruskan sebab tidak mustahil kerajaan boleh bertukar. Nauzubillah. Pada tahun 999, kita buat sekolah SRAB. Bila kita jatuh, lain tak jadi, tinggal SRABZA.’ sebut beliau.

‘Hasrat kita nak jadikan sistem pendidikan ini biar menjadi lebih baik. Dan bila kita menjadi kerajaan, kita ada 5 buah SRIDI (Sekolah Rendah Islam Darul Iman). Ini tanggungjawab kerajaan. Ia juga diurus sebenarnya oleh kita. Seolah-olah ada persaingan sesama sendiri. Dulu, saya rasa begitu, takut DAR akan merosot. Itu andaian sebahagian dari kita. Alhamdulillah, kita dapati guru kita sangat yakin bahawa apa yang kita buat ini masih terbaik. Guru kita tetap teguh bersama DAR.
Saya juga bimbang kemasukan ke DAR merosot, dengan sebab adanya SRIDI, tetapi Alhamdulillah, DAR terus menerima kemasukan pelajar baru.’ hurai beliau.

‘Cabaran ke 2, dari segi ekonomi. Guru-guru DAR masih belum terbela dengan tahap sewajarnya. Cuma mujurlah, ada juga sedikit penilaian yang baik dari pihak kerajaan. Mungkin gaji guru DAR agak kurang, tapi kita akan terus perjuangkan untuk DAR.
Walaupun saya sudah tidak lagi menjadi Ketua Dewan Ulamak lagi tetapi jiwa saya tetap bersama guru DAR.’ akhiri beliau.

Pelajar-pelajar yang diraikan ialah yang terbaik menurut subjek UPSRI 2019 seramai 13 orang, 17 orang mendapat 10A, 13 orang mendapat 11A, 11 orang mendapat 12A, 4 orang mendapat 13A, 3 anugerah tokoh, anugerah sekolah terbaik UPSRI 2019 dan anugerah sekolah pencapaian tertinggi minimum C.

Turut hadir ialah Ustaz Ismail Osman, Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu bersama beberapa orang AJK Dewan Ulama PAS Terengganu, ADUN dan Ahli Parlimen Dungun serta anggota Majlis ALP dan Mudir DAR.