Home Berita PAS Perlis

Jihad amar makruf nahi mungkar tuntutan besar

1601
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 17 Julai: Jihad amar makruf nahi mungkar merupakan tuntutan terbesar yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam, khasnya para pendukung perjuangan Islam.

Menurut Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan, tugas melaksanakan amar makruf nahi mungkar telah diletakkan ke atas atas bahu umat Islam oleh Allah SWT.

Memetik maksud ayat 110 Surah Ali Imran, beliau berkata selaku umat terbaik yang diturunkan kepada seluruh umat manusia, maka peranan umat Islam adalah mengajak manusia untuk melakukan kebaikan di atas muka bumi ini.

“Allah telah memilih umat Islam sebagai umat terbaik yang dijadikan di atas muka bumi untuk memberi manfaat kepada sesama umat Islam dan manusia seluruhnya.

“Maka menjadi kewajipan buat kita mengajak diri, saudara, umat Islam dan manusia seluruhnya supaya berbuat kebajikan dan pada masa yang sama mencegah kemungkaran serta perkara-perkara yang boleh mengundang bala Allah SWT,” katanya ketika menyampaikan taujihat pada Program Munajat Perdana Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) yang berlangsung secara maya malam tadi.

Disebabkan tuntutan berkenaan bukannya mudah ujarnya, maka Allah memuliakan mereka yang tetap berusaha melaksanakannya (amar maaruf nahi mungkar).

“Bahkan dalam hadis ada dinyatakan sebaik-baik manusia ialah orang yang bertaqwa dan sebaik-baik manusia ialah orang yang melaksanakan amar makruf nahi munkar serta mereka yang menghubungkan silaturahim.

“Hasil (melaksanakan tuntutan) amar makruf nahi munkar ini, maka akan lahir rakyat dan masyarakat yang beriman kepada Allah SWT. dengan sebenar-benarnya,” jelasnya.