KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Undang-Undang Keluarga (UUK) sedang meningkatkan kualiti pengamal pengubatan islam di negeri ini.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata setiap pengamal yang sah perlu melalui tapisan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama JHEAT sebelum mendapat kelulusan bagi merawat pesakit.
Katanya, ia bertujuan bagi mengelakkan penipuan dan penyelewengan dalam pengubatan Islam.
“JHEAT juga akan mengeluarkan senarai pengamal rasmi pengubatan Islam yang telah diiktiraf.
“Di samping, mendapat lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Unit Perubatan Tradisional dan Komplimentari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Tambah Mokhtar Salleh, pengubatan Islam ialah merujuk kepada kaedah dalam merawat kesihatan dan masalah spiritual yang selari dengan ajaran Islam.
“Rawatan yang dijalankan hendaklah tidak bercanggah dengan syariat Islam.
“Apa pun kaedahnya adalah tidak meragukan dari sudut kaedah merawat, termasuklah doa, wirid, ruqyah, dan penggunaan bahan-bahan semulajadi.
“Rawatan ini bukan sekadar mengamalkan doa dan ruqyah sahaja bahkan melibatkan amalan dalam Islam secara menyeluruh dan seimbang dalam menjaga kesihatan tubuh badan dan rohani,” ujarnya.