Home Berita PAS Terengganu

JHEAT lapor polis terhadap penyebar video tular

59
SHARE

KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan membuat laporan polis terhadap pihak yang sengaja menularkan semula video tarian dan pesta arak yang berlaku pada 2017 di Pulau Perhentian.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pegawai Penguatkuasa Syariah Besut telah membuat semakan dan mendapati video yang menimbulkan fitnah itu adalah video lama.

Katanya, tidak berlaku sebarang aktiviti seumpama itu di Pulau Perhentian dan selepas membuat semakan balik pada video berkenaan mendapati ia itu telah dipadam.

“Kalau diikutkan pada tarikh  yang diviralkan 10 September itu, tidak ada apa-apa aktiviti yang berlaku di pulau berkenaan dan saya difahamkan pada keesokkan harinya, pelancong tidak ramai yang berada di Pulau Perhentian berikutan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil.

“Saya telah memohon Pegawai Agama Daerah Besut membuat laporan polis untuk membuka kertas siasatan tentang apa yang berlaku sebagai pengajaran kepada mana-mana individu supaya tidak melakukan perkara-perkara  yang tidak betul  dan boleh mencemarkan imej kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media  selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Damai Lounge, Wisma Darul Iman

Sebelum ini, pada malam Selasa, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik video yang memaparkan sekumpulan individu berpesta dan menari yang didakwa berlaku pada 10 September lalu di sebuah lokasi di Pulau Perhentian.

“Pesta arak dan disko.. yang juga melibatkan bangsa Melayu.. September fest kot,” tulisnya sebelum memadamnya pada pagi Rabu.