Home Berita PAS Sabah

Jentera Muslimat Tawau dirai dalam Jamuan Jalinan Kasih

667
SHARE

Oleh : Anna Tan

TAWAU ~ Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Tawau  telah mengadakan Majlis Jamuan Jalinan Kasih (JJK) di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada 20 November.

Seramai 70 ahli DMPK terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan, Amerah , Briged, MGP dan As-Sabiqat telah hadir dengan bertemakan warna hitam dan ‘gold’.

Ketua Muslimat, Ustazah Mandin mengucapkan syukur dan terima kasih kepada urusetia dan AJK  pengelola kepada pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK), Puan Siti Arfah Asrisal bersama-sama ahli jawatankuasanya  yang telah bertungkus lumus menjayakan JJK 2019 itu.

Ustazah Mandin  turut  berterima kasih kepada seluruh ahli yang hadir serta  jemputan ke program tahunan DMPK Tawau.

Menurutnya, muslimat telah berkorban dan bertungkus lumus sepanjang tahun dalam membantu menyebarkan dakwah Islamiah  dan gerakkerja parti khususnya di Parlimen P190.

“Kita ingin merai dan menghargai petugas-petugas kita yang telah bertungkus lumus dan mengorbankan masa lapang mereka dan masa bersama keluarga mereka demi perjuangan menegakkan syiar Islam dan aktiviti-aktiviti parti.

“Tanpa tenaga muslimat yang taat dan wala’ sesuai dengan peranannya sebagai sayap kiri kepada parti, perjuangan ini akan pincang.

“Oleh itu, majlis seumpama ini perlu sentiasa di adakan di samping dapat merapatkan ukhuwah sesama ahli.

“Pada malam ini juga para muslimat menunjukkan bakat-bakat terpendam mereka dengan mengadakan persembahan seperti berqasidah, selawat dan bersketsa.

“Ini menunjukkan muslimat bukan sahaja berkebolehan di lapangan tetapi juga berkebolehan di atas pentas,” katanya semasa memberikan ucapan.

Pada malam itu turut diraikan ahli muslimat PAS Cawangan Taman Ria, Cikgu Zakyah Hassan yang akan berpindah balik bertugas di semenanjung.

Majlis berakhir tepat jam 11.00 malam.