Home Berita PAS Pahang

Jelajah TEROKA melebarkan sayap dan memperkukuhkan TASTI

81
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

TEMERLOH, 3 Ogos – Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) melebarkan sayapnya dengan mengadakan Program Teroka Kawasan (TEROKA) di seluruh negara.

Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor semasa merasmikan program tersebut berkata, bagi memperkasa dan memperkukuhkan TASTI, keyakinan daripada ibu bapa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik amat diperlukan.

Ibu bapa adalah sebagai media sosial yang boleh membantu mempromosikan sesebuah produk untuk membina jenama dan untuk menarik ramai pelanggan.

Justeru itu, menjadi tanggungjawab muslimat yang mengusahakan TASTI dapat menjaga standard kualiti yang dikehendaki, disamping memenuhi kriteria agensi kerajaan yang terlibat.

Beliau yang juga sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Malaysia memperingatkan muslimat yang terlibat dengan TASTI, agar tidak mengabaikan peranan dan tanggungjawab mereka dalam gerak kerja serta aktiviti parti.

Sementara itu, Pengarah TASTI DMP Malaysia Rahsidah Arbain berkata, program ini juga adalah usaha untuk memperlihat dan mengetengahkan TASTI sebagai suatu produk yang boleh dipasarkan oleh DMP ke dalam masyarakat.

“Jenama TASTI belum benar-benar dikenali, lantaran itu TEROKA menjelajah di seluruh pelusuk negeri bagi  memperkenalkan TASTI sebagai satu produk DMP,  untuk melahirkan generasi yang kuat akidahnya demi melahirkan generasi yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT,” katanya lagi.

Slot pembentangan strategi untuk memperkasakan TASTI agar sentiasa segar menjadi pilihan masyarakat setempat, telah disampaikan oleh Setiausaha Jabatan TASTI DMP Malaysia, Nurul ‘Izzati Zamuri dalam program tersebut.

Manakala Pengarah TASTI Negeri Pahang Nor Hafsah Omar berkata, TEROKA mengukuhkan kebersamaan dan kesatuan di antara DMP dengan TASTI.

Tambahnya lagi, dengan adanya penaziran dari Ahli Lembaga Pengelola Jabatan TASTI DMP Malaysia dan pelbagai kursus yang diadakan dapat memperkasakan lagi kualiti TASTI yang telah beroperasi selama lapan tahun.

Program anjuran Jabatan TASTI DMP Malaysia dan Jabatan TASTI DMP Negeri Pahang itu telah diadakan di Sungai Gau di sini baru-baru ini.

Turut hadir dalam program itu adalah Ahli Lembaga Pengelola Jabatan TASTI DMP Malaysia Salwani Salleh dan Maziyah Mahusin, Ahli Jawatankuasa DMP kawasan dan cawangan seluruh Negeri Pahang.