Home Artikel PAS Pahang

Jawi: ADUN DAP cabar titah Al-Sultan keterlaluan

1018
SHARE

MENJELANG sambutan Hari Raya Aidil Adha kali ini negara dikejutkan dengan tindakan ADUN Tras, Raub, Pahang  dari parti DAP Chow Yu Hui mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan untuk mencabar ketetapan Kerajaan Negeri Pahang mewajibkan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan.

Permohonan yang menamakan Majlis Daerah Raub dan Kerajaan Negeri sebagai responden itu memohon mahkamah menyemak semula arahan Kerajaan Negeri kepada pihak berkuasa tempatan.

PAS Pahang melihat tindakan konfrontasi pemimpin DAP ini sebagai satu keterlaluan, melanggar Prinsip Rukun Negara dan mencabuli kerukunan dan tatasusila serta budaya Malaysia yang saling hormat-menghormati antara sesama rakyat. Bahkan ia juga mempamerkan sikap berterusan pimpinan DAP yang tidak menghormati institusi Diraja dalam negara yang mengamalkan sistem pemerintahan berteraskan Raja Berperlembagaan.

Umum mengetahui, tindakan Kerajaan Negeri Pahang mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda premis perniagaan di negeri ini adalah dengan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Ahmad Shah yang mahu memartabatkan dan melebar luaskan penggunaan tulisan Jawi dalam negeri baginda Pahang Darul Makmur.

Sebagai pemimpin masyarakat, ADUN Tras sebaiknya menjadi pemimpin yang mendamaikan rakyat dan memberi kefahaman bahawa tulisan jawi adalah sebahagian komponen dalam Negara Malaysia. Ia adalah tulisan bagi Bahasa Melayu, seperti mana juga bahasa Cina yang ada tulisannya dan bahasa Tamil yang juga ada huruf dan gaya tulisannya tersendiri.

Bersesuaian Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka apakah salahnya tulisan bagi bahasa ini diberi kedudukan seperti yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Rakyat juga hairan, ketika mereka berhempas-pulas menentang penggunaan tulisan Jawi namun mereka juga mempergunakan tulisan ini untuk melariskan produk-produk jualan mereka di kalangan pengguna-pengguna beragama Islam. Logo halal bertulis Jawi, nama produk dalam tulisan Jawi dan ada kalanya nama produk juga dinamakan dengan nama-nama yang ada hubung kait dengan agama Islam.

Dalam suasana sokongan rakyat kepada DAP semakin menurun menjelang PRU15, mereka cuba memancing undi dan sokongan sesetengah kaum dengan menimbulkan isu yang tidak relevan ini. Tindakan ini bakal merebakkan lagi keretakan hubungan antara kaum dalam negara ini bahkan juga akan menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan sesetengah kaum.

Sehubungan dengan itu PAS Pahang mendesak YB ADUN Tras supaya menarik balik tindakan mahkamah berkenaan dan memohon maaf kepada rakyat negeri ini kerana telah menimbulkan kemarahan mereka di atas kebiadabannya mencabar titah KDYMM Sultan Pahang.

Pemimpin DAP seharusnya belajar budaya Malaysia dalam konteks kesopanan dan kesusilaan.

YB USTAZ ROSLI BIN ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang