Home Rencana PAS Kelantan

Jatidiri Islam dalam pembangunan dan kemajuan

38
SHARE

Kepimpinan Almarhum Tok Guru Nik Aziz bermula tahun 1990 telah menggariskan satu landasan yang tepat untuk menguruskan negeri Kelantan ini iaitu dasar Membangun Bersama Islam.

Islam merupakan agama pilihan Allah SWT yang sempurna ajarannya dan bersifat inklusif merangkumi seluruh latar belakang masyarakat, budaya, agama dan juga cara hidup.

Islam tidak melihat manusia berasaskan pegangan agama, warna kulit, bangsa dan juga budaya yang ada, tetapi Allah SWT melihat manusia sebagai makhluk yang diciptakan oleh Tuhan bersama makhluk-makhluk yang lain.

Semua kita adalah hamba Allah SWT. Hidayah Allah SWT diberikan kepada semua manusia dan Islam ini diturunkan melalui Rasulullah SAW ialah untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam dan seluruh manusia bukan kepada kelompok yang tertentu sahaja.

Sebab itu kita melihat di dalam sejarah, bermula dengan zaman Nabi Muhammad SAW, masyarakat pertama yang berada di Madinah ialah masyarakat majmuk. Majmuk dari segi akidah, keturunan, adat dan juga budaya. Kita dapat melihat dalam tempoh itu, Islam dapat berperanan dengan baik walaupun masyarakat berlainan latar belakang dan kepercayaan.

Atas keyakinan inilah, selagi kita diberikan kuasa politik, kita akan meneruskan dasar Membangun Bersama Islam ini di Kelantan dengan penambahan, pembaikan dan meningkatkan lagi pencapaian kita.

Islam di zaman Umayyah dan terutamanya di zaman Abbasiyyah telah bertembung dengan budaya barat, Rom dan Parsi, pemikiran daripada Greek pada waktu itu, tetapi ulama berjaya menapis idea dan ilmu yang datang, serta memberikan warna Islam.

Islam ada konsep dan pandangannya yang tersendiri. Bukannya menuruti acuan pembangunan, ekonomi, kemajuan, idealisme dan sebagainya dari barat yang akhirnya membawa bersama masalah yang dihadapi di dalam negara.

Kemajuan dan pembangunan adalah proses dalam kehidupan yang tetap akan berlaku, namun mestilah serasi dengan ajaran Islam. Kekal identiti dan jatidiri Islam.

https://www.facebook.com/datonikamar
MOHD AMAR ABDULLAH | 11 SEPTEMBER 2021
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim