Home Rencana PAS Selangor

Janji manis si pemungkir janji – Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

178
SHARE

May be an image of 1 person and text that says "JANJI MANIS SI PEMUNGKIR JANJI MANIFESTO PAKATAN HARAPAN GST 10 PROMISES IN 100 DAYS ABOLISHMENT B Fuel Subsidies REINTRODUCE ofGoads and senrices (GST) ELIMINATE DebtsonFELDAsettlers ettlers IZED country EMP USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM"

“Bingkisan Rida Di Bahu” | Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

Kerajaan Perikatan Nasional yang mengemudikan negara setelah kegagalan Kerajaan PH 22 bulan yang tersungkur dengan sendiri telah menyelamatkan negara dan rakyat daripada penipuan berterusan dan terbesar PH ketika Pilihanraya Umum ke 14.

PH ketika itu telah mengekploitasi sentimen dan persepsi rakyat yang dimomokkan dengan pelbagai penipuan tentang negara dan pemimpin negara sehingga sanggup menggunakan media antarabangsa dan juga media upahan demi memenangi hati rakyat dalam pilihanraya.

Rakyat yang inginkan perubahan yang baik dan kesejahteraan kepada negara termakan dengan momokan saban hari janji-janji manis PH dan janji bulan bintang kononnya apabila PH diberi kuasa sebagai kerajaan mereka akan melaksanakan segala janji itu.

Masihkah kita ingat, janji mereka untuk menurunkan harga minyak, menstabilkan harga barangan keperluan, naikkan gaji Penjawat Awam dan Pesara serta Bonus, lesen motosikal percuma, pendidikan percuma, mansuh PTPTN, menghapuskan tol di seluruh Malaysia, agihan Percuma Sekampit Beras setiap bulan kepada setiap isi rumah berkahwin miskin serta berpendapatan rendah, menjadikan badan SPRM bebas serta lapor terus kepada Parlimen, memansuhkan sistem AES dan bermacam-macam lagi janji PH sebelum Pilihanraya Umum ke 14.

Tetapi apabila PH berkuasa, segala janji manis yang mereka hemburkan sewaktu berceramah dan pembentangan manifesto mereka di setiap corong media sosial dipermainkan dan diperlekeh oleh pemimpin PH sendiri. Pemimpin PH asyik memberi sejuta alasan untuk tidak melangsaikan janji mereka dengan helah, “negara tiada duit, negara bankrap, rakyat perlu mengikat perut bantu negara”. PH juga melantik orang mereka juga bagi mengisi posisi tertinggi SPRM, kamera AES juga ditambah dan tol lebuhraya dibuka yang baharu pula.

Sandiwara janji PH ini memakan diri sendiri apabila mereka bersengketa sesama sendiri atas penipuan dan juga janji manis yang tidak realistik dan akhirnya mereka kehilangan kerajaan secara mengejut dan meletakkan negara dan rakyat dalam keadaan tidak stabil dan tidak menentu.

Perikatan Nasional yang diwujudkan atas semangat perpaduan Melayu Islam dan semangat menyelamatkan negara daripada angkara perbuatan PH berjaya mengharungi cabaran getir dan perit yang sedang menerjah semua manusia dan negara serata dunia. Sebaliknya Kerajaan PN tidak menaburkan apa-apa janji telah berusaha dan serba keupayaan yang ada melaksanakan pelbagai inisiatif dan bantuan malah sebahagian janji yang tidak ditunaikan oleh PH, berjaya dilaksanakan dengan Kerajaan PN hanya dalam tempoh yang singkat pemerintahan.

COVID-19 menjadi ancaman bukan hanya kepada nyawa manusia, tetapi ancaman kepada sosial, ekonomi, politik dan cara hidup normal manusia ditangani oleh Kerajaan Perikatan Nasional dengan sabar, adil dan sebaik mungkin. Kerajaan Perikatan Nasional seumpama seorang yang terikat tangan dan kaki disebabkan kekangan luarbiasa dari sudut kewangan dan pendapatan negara, hubungan antarabangsa yang terbatas, perjalanan hidup yang tidak normal serta kemampuan yang terhad masih mampu meletakkan kecaknaan dan kepedulian hanya kepada rakyat jelata tanpa mengira latar belakang agama, politik dan sosio ekonomi.

Semua rakyat dibela seadanya dan semampu mungkin dan hampir RM 500 billion dibelanjakan oleh kerajaan PN kepada rakyat secara khusus dalam tempoh yang singkat iaitu kurang 2 tahun sahaja.

Kerajaan Perikatan Nasional tidak memberi alasan-alasan semborono dan jengkel ketika membela nasib yang sedang menimpa rakyat dan situasi negara pada ketika ini. Setiap tindakan dan keputusan mengambil kira sudut pandangan agama Islam dan kemampuan negara bagi mencapai Maqasid Syariah yang menjadi idea pemerintahan.

Kerajaan PN berkerjasama dengan semua pihak samada pihak pegawai kerajaan, agensi kerajaan, badan penguatkuasa beruniform dan juga swasta serta NGO untuk mencari jalan memberi kesejahteraan kepada rakyat yang terhimpit dengan sebab COVID-19.

Mesyuarat demi mesyuarat, maklumat dan data diperhalusi dan perbincangan bersama setiap agensi dan badan berkaitan untuk sebarang keputusan dan tindakan yang akan dibuat oleh pihak kerajaan. Tanpa dinafikan ada keputusan yang tepat dan kurang tepat atau mungkin boleh diperbaiki.

Tetapi PH dengan mudah dan simplistik mengambil kesempatan atas kepayahan yang diharungi oleh negara dan kekangan yang dihadapi untuk menuduh dan memomokkan pula dengan tagline Kerajaan Gagal.

Sedangkan mereka hanya duduk di hadapan televisyen, komputer riba dan telefon bimbit masing-masing hanya menghemburkam kata nista, cercaan, celaan, kritikan yang tidak membina kepada kerajaan sekaligus PH ini yang sememangnya pandai mencipta persepsi buruk dan fitnah terus mengekploitasi rakyat yang sedang resah dan gelisah menanti keadaan negara kembali baik.

Sikap tidak bertanggungjawab PH ini ditambah pula dengan janji baharu mereka kononnya mampu menyelesaikan masalah COVID-19 ini sedangkan mereka juga yang mengambil sikap yang tidak matang cuba menangguk di air yang keruh ketika rakyat dan negara sedang berperang menentang musuh manusia sejagat. PH sendiri memungkiri janji manifesto pilihanraya secara tanpa malu dan segan kepada rakyat dan tidak ditunaikan dalam tempoh mereka berkuasa. Ini pula hendak berjanji untuk menyelesaikan COVID-19 seolah-olah mereka itu umpama ahli silap mata yang cuba mengaburi penonton dalam tayangan sarkas.

Diharap agar rakyat tidak lagi mudah tertipu dengan PH yang tiada langsung punyai sikap kebertanggungjawaban dan mementingkan negara dan rakyat. YB Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam wacana Sinar Harian pada hari ini bertajuk : Buka Parlimen : Kuasa atau Rakyat mendedahkan bahawa 3 orang wakil PH yang menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 menolak darurat diteruskan selepas 1 Ogos ketika undian. Sedangkan semua anggota lain termasuklah wakil kerajaan, pengarah keselamatan, pengarah bahagian ekonomi dan kesihatan serta agensi negara menyokong dan bersetuju agar darurat diteruskan demi keselamatan negara dan rakyat. Ini adalah bukti PH hanya bersandiwara kononnya meletakkan kepentingan diri dan politik mereka berbanding kepentingan rakyat.

Tak payahlah PH nak berjanji-jani manis lagi. Lebih baik mereka terima hakikat bahawa mereka sudah lagi tidak diterima oleh rakyat kerana pembohongan dan penipuan mereka dahulu. Setiap kali pemimpin PH bersuara dalam media sosial samada cadangan mahupun kritikan, kelihatan respon dan komentar netizen mempersendakan PH yang pernah menipu dan memperalatkan rakyat demi cita-cita politik mereka.

Marilah kita bersama-sama rakyat seluruhnya tanpa mengira fahaman politik dan agama untuk bergandingan demi negara tercinta melawan COVID-19 dan membangunkan kembali negara menuju kegemilangan dan kesejahteraan yang diidamkan semua.

13 Zulhijjah 1442H | 23 Julai 2021

Lajnah Penerangan & Media Baru

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor