KENYATAAN MEDIA PAS PULAU PINANG
PENGGUGURAN JAWATANKUASA KARIAH MASJID PULAU PINANG: JANGAN POLITIKKAN AGENSI AGAMA NEGERI
PAS Pulau Pinang menuntut penjelasan munasabah berkenaan tindakan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang telah menggugurkan nama pengerusi dan timbalan pengerusi kariah di hampir 12 masjid di Pulau Pinang.
Pemilihan pengerusi dan timbalan pengerusi kariah masjid telah dibuat mengikut etika pemilihan dan kaedah yang telah digariskan oleh MAINPP.
Tindakan pengguguran ini dengan jelas menunjukkan bahawa pihak MAINPP tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh anak-anak kariah masjid.
Pemilihan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan AJK Kariah sesi 2023/2025 membuktikan bahawa calon-calon ini telah diberikan kepercayaan penuh oleh anak-anak kariah.
Pihak MAINPP telah memberikan penjelasan bahawa wujud unsur politik dan salah guna institusi masjid merupakan alasan kepada tindakan pengguguran ini. Namun, alasan yang diberikan ini hanya persepsi dan konklusi kosong yang dibuat tanpa sebarang bukti kukuh dan munasabah.
Tindakan tidak wajar ini telah menganggu proses perjalanan pengurusan masjid dalam menggerakkan fungsi utama institusi masjid kepada masyarakat. Malah, tiada sebarang pertemuan dibuat bersama pihak pengerusi-pengerusi masjid yang telah digugurkan bagi membincangkan kononnya wujud salah laku.
Tindakan ini jelas menunjukkan sentimen ‘balas dendam’ dan campur tangan politik dalam isu ini sementelah kekalahan mereka di kerusi-kerusi Melayu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lepas.
PAS Pulau Pinang mendesak agar pihak MAINPP tidak dijadikan medium ‘politik kotor’ yang hanya akan merugikan umat Islam dan menjadi fitnah besar kepada institusi agama negeri.
Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan segera melalui tatacara yang tepat serta baik demi keharmonian anak-anak Kariah.
“Malaysia Sejahtera”
Ustaz Muhammad Fauzi bin Yusoff
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang