Home Artikel PAS Selangor

Jangan Panik & Tingkatkan Intergriti Diri – “Beramal Kerana Allah” | Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor

589
SHARE

Oleh : Zurk Ahmad

Sepanjang minggu ini topik hangat yang menjadi bualan adalah kenaikan mendadak kes wabak pandemik COVID-19. Setakat hari ini, sudah mencecah 432 kes. Jumlah kes harian tertinggi di Malaysia sejak pandemik ini melanda. Ia sudah tentu sedikit sebanyak mencetuskan suasana yang tidak selesa dikalangan rakyat – peniaga, pekerja, warga pendidik, warga pelajar dan ibubapa.

Meninjau pecahan kes yang dilaporkan pada 5 Oktober 2020 – daripada 432 kes, sebanyak 429 adalah kes tempatan manakala hanya 3 kes import. Daripada 429 kes tersebut, sebanyak 224 kes daripada Kedah yang melibatkan Kluster Tembok dan 29 kes daripada pengunjung yang pulang daripada Sabah. 130 kes lagi adalah daripada Sabah. Selangor pula mencatatkan 34 kes.

Secara ringkasnya, daripada jumlah 432 ini, sebanyak 371 kes daripada kawasan terkawal iaitu Kedah dan Sabah manakala 61 kes sahaja di tempat lain.

Tempoh 8 bulan sebelum ini saya kira sudah cukup untuk membantu kita menguruskan diri dalam menghadapi gelombang baru ini. Kita sudah cukup “terlatih” untuk menjaga diri dan keluarga. Setiap orang sudah faham apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan. Tinggal lagi kita perlu lebih berdisiplin dan beritergriti dalam menjalani kehidupan bersama wabak pandemik ini.

Anda lupa? Jom saya ingatkan.

  1. Sama-sama kita elakkan tempat sesak, kawasan sempit dan bersembang dengan jarak dekat
  2. Suka atau tidak, kerapkan mencuci tangan dengan sabun
  3. Sentiasa memakai pelitup muka (facemask) apabila berada ditempat awam
  4. Elakkan bersalam atau bersentuhan. Berlaga penumbuk pun tidak boleh!
  5. Sentiasa mematuhi amaran dan SOP yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan

Saya kira tidak susahpun untuk kita mematuhi semua ketetapan diatas. Tetapi kenapa kita gagal untuk melakukannya? Kerana kita mengambil ringan hal tersebut. Dan mungkin juga kita, kaum keluarga dan sahabat kita masih belum dijangkiti…

Kita marah apabila mendapat tahu VIP atau golongan tertentu tidak mematuhi SOP tetapi dalam masa yang sama kita seronok ke sana ke sini tanpa memakai mask. Kita marah apabila membaca berita kononnya guru tidak “jaga” pelajar apabila keluar dari pagar sekolah tetapi pada hunung minggu kita selamba membawa anak-anak ke pusat membeli belah tanpa pematuhan SOP sewajarnya.

Kuarantin juga sangat membantu memutuskan rantaian jangkitan. Ini juga memerlukan disiplin dan intergiriti. Memetik tulisan Dr Suhazeli Abdullah – hari ke-8 adalah waktu terbaik untuk lakukan ujian swab kerongkong yang akan memberikan 80% keputusan positif jika ianya benar wujud virus COVID-19. Oleh itu, tempoh kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh kerajaan adalah tempoh yang sangat significant untuk mereka yang disyaki atau mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19. Tolonglah jujur. Kasihanilah sahabat-sahabat kita barisan hadapan di KKM yang bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja “tracing” dan “testing” tanpa henti sejak berbulan yang lepas.

Selepas berusaha mematuhi SOP, akhirnya kepada Allah jua kita berserah.

Sama-samalah kita bermunajat kepada Allah, banyakkan berdoa agar ujian ini segera berakhir dan kita semua sentiasa dilindungi.

Tingkatkan intergriti diri!

Kita hanya hamba yang kerdil, Allah Maha Penyayang.

Zurk Ahmad
Timbalan Ketua Pengarah 1 (Bahagian Operasi)
Jabatan Amal Malaysia

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor

#covid19
#kekaltenang
#mestimenang
#kitajagakita
#beramalkeranaAllah
#demiIslamAmalSedia
#jabatanamalmalaysia