Home Berita PAS Wilayah

Jangan panik, sokong Kempen Vaksinisasi di Labuan

123
SHARE

Oleh : Mat Nur Somad

LABUAN, 19 Jun – Yang di-Pertua PAS Kawasan Labuan, Haji Hamir bin Zahari yang juga Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan mengesa agar masyarakat Labuan tidak panik dan terus memberi sokongan dan kerjasama terhadap kempen vaksinisasi yang semakin giat dilaksanakan.

Melalui kenyataan media beliau, kes-kes baharu COVID-19 di Labuan meningkat secara drastik memberikan sedikit kebimbangan kepada masyarakat Labuan sehingga pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan bertindak melaksanakan sekatan pergerakan (lockdown) bersasar bagi mengekang penyebaran COVID-19 yang lebih luas.

Berlaku pembelian panik di kalangan masyarakat Labuan kesan daripada pelaksanaan sekatan pergerakan secara bersasar namun Haji Hamir menegaskan bahawa jaminan bekalan makanan di Labuan masih mencukupi serta mendapat bantuan bekalan makanan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan.

Yang di-Pertua PAS Kawasan Labuan juga menyeru agar masyarakat Labuan untuk menyokong dan memberi kerjasama dalam menjayakan kempen vaksinisasi di Labuan.

“Saya mengharapkan agar setiap perancangan oleh pihak JPBD mencapai matlamatnya dan saya menyeru kepada seluruh masyarakat Labuan untuk memberi kerjasama dan sokongan terhadap setiap usaha pihak JPBD agar Labuan segera pulih seperti sediakala,” ujar beliau.

Pihak JPBD juga berhasrat menyasarkan Labuan sebagai wilayah pertama mendapat perlindungan berkelompok dengan sasaran kapasiti pemvaksinan sehingga 5,000 suntikan sehari dengan daftarkan diri kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) atau ketua kampung masing-masing secara ‘walk-in’ untuk tujuan mendapatkan suntikan vaksin mengikut kampung masing-masing.