Home Minda Presiden

Jangan Padamkan Cahaya Islam

1281
SHARE

Minda Presiden PAS

JANGAN PADAMKAN CAHAYA ISLAM


William Ewart Gladstone yang pernah menjadi Perdana Menteri British berulang kali di abad kesembilan belas, di zaman Queen Victoria, menyampaikan ucapan yang keras permusuhannya terhadap Islam dan umatnya, kerana kedegilan mereka menentang penjajah, walaupun kerajaan Islam sudah jatuh dan tanah airnya dipecah dan dijajah, rakyat diperhambakan dan hasil buminya dirompak, namun perjuangan mereka menentang penjajah terus marak. Mereka tidak mampu dihapuskan oleh kekuatan tentera yang bersenjata lebih canggih, walaupun kelengkapan umat Islam itu masih terkuno.

Dia berucap dalam Sidang Parlimen sambil memegang Kitab Suci Al-Quran menegaskan:

“Kita tidak mampu menghapuskan Islam dan penganutnya melainkan sekiranya kita boleh menghapuskan tiga perkara yang penting; Sembahyang Jumaat, Ibadat Haji dan buku ini (Kitab Suci Al-Quran)”

Demikianlah sikap permusuhan terhadap Islam dan penganutnya. Salah satu sasarannya ialah Kitab Suci Al-Quran yang wajib diimani oleh setiap penganut Islam dan tetap memuliakannya walaupun mereka tidak tahu maknanya, termasuk kalangan yang buta huruf. Mereka tetap kasihkan Al-Quran, memuliakan dan mempertahankannya.

Apa yang terpenting ialah bukan sahaja Al-Quran bersifat mukjizat sebagai tanda kerasulan Nabi Akhir Zaman S.A.W, tulisan dan hafazannya yang dipelihara, tetapi sebenarnya yang paling ditakuti ialah petunjuk Al-Quran kepada seluruh manusia, panduannya untuk menggunakan semua ilmu dengan betul dan memberi manfaat serta menolak mudarat apabila mengikut sempadan Allah Yang Maha mengetahui Lagi Maha Adil kepada semua dan Rahmat terhadap seluruh alam.

Petunjuk Al-Quran merangkumi ilmu wahyu daripada Al-Quran secara langsung dan kebijaksanaan Sunnah Rasulullah S.A.W. yang menunjukkan bagaimana beramal dengan Al-Quran itu secara amali, memandu ilmu, akal, kajian dan pengalaman ke jalan yang betul untuk menjadi hamba Allah dan memakmurkan bumi dengan selamat mengikut kebijaksanaan Pencipta Alam.

Kitab Suci ini juga berjaya memandu ilmu, akal, kajian dan pengalaman dalam semua aspek kehidupan manusia bagi diri, keluarga dan masyarakat yang merangkumi seluruh aspek jasad, akal, roh, politik, ekonomi, sains dan teknologi dalam semua lapangannya. Petunjuknya dapat disaksikan apabila diamalkan keseluruhannya dengan sempurna, bukannya secara serpihan atau terpilih mengikut akal sahaja, tetapi beriman dan beribadat melalui semua cara hidup. Beriman dan beramal mengikut Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨ البقرة.

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah: 208)

Al-Quran berjaya memandu generasi awal Islam daripada Makkah dan Madinah di tengah padang pasir yang tidak ada sumber kekayaan bersifat harta benda yang menjadi pemujaan semua ideologi ciptaan manusia bagi menegakkan negara dan memajukan bangsanya, sama ada kanan atau kiri. Generasi awal itu juga tidak ada ilmu yang menjadi asas membina tamadun kebendaan yang dibanggakan di seluruh dunia, kebanyakan mereka buta huruf.

Tiba-tiba generasi ini berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia di zamannya dan menguasai kekayaan dan ilmu duniawi sehingga mempengaruhi penduduk negara bertamadun dengan membina tamadun baru yang dinamakan Tamadun Islam berasaskan pembangunan manusia berpandukan Al-Quran. Sehinggalah Islam menjadi kuasa besar tunggal yang paling berpengaruh di zaman keemasannya beberapa abad. Setiap bumi dan penduduk yang dilalui oleh Islam, sama ada yang dipaksa berperang kerana menghalang kedatangannya atau masuk secara dakwah dan perdagangan, tetap diterima oleh penduduknya sebagai penyelamat, bukannya penjajah.

Al-Quran memperkasakan bangsa yang menerimanya dan menganut Islam berpandukan Al-Quran dan menolak penganutnya yang meninggalkan Al-Quran, termasuk bangsa arab sendiri yang diwahyukan Al-Quran dengan bahasa mereka terpaksa menjadi pengikut di belakang apabila meninggalkan petunjuk Al-Quran. Ini dinyatakan oleh Firman Allah:

وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨ محمد.

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma bagi menegakkan Islam yang terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah), Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain (yang menegakkannya); setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)

Sebenarnya ilmu Al-Quran untuk semua manusia, bukan dimonopoli oleh satu kaum sahaja. Maka Allah menjadikan bangsa yang silih berganti memimpin dunia Islam bersama petunjuk Islam berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Ramai para ulama besar dan ilmuan selepas bangsa arab, bukan lagi daripada bangsa arab. Sehinggalah umat Islam menghadapi zaman kelemahannya kerana meninggalkan Al-Quran. Apabila petunjuknya dihakiskan, para ulama yang menyambung warisan Rasulullah S.A.W. dipinggirkan oleh pemerintah yang bermaharajalela dengan kemewahan di zaman kemuncak berkuasa.

Sebenarnya begitulah adat pusingan dunia, berlakunya juga giliran kepada umat Islam apabila para pemerintahnya tergoda dengan tamadun barat yang muncul. Kemunduran umat Islam kerana meninggalkan ajarannya, adapun kejatuhan umat yang lain kerana kesesatan dan kelemahan ajarannya.

Pihak barat yang bermusuh terhadap Islam secara melulu hanya mengambil kemajuan sains dan teknologi yang dimajukan. Kemuncaknya Revolusi Industri di Eropah tanpa agama, khususnya agamanya sendiri, akhirnya bergabung permusuhan para paderinya dan kerajaan terhadap Islam. Allah telah berfirman:

وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ١٠٩ البقرة

“Sebahagian besar Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al-Baqarah: 109)

Beginilah permusuhan mereka terhadap Islam kerana menolak petunjuk Islam dan kedegilan menentang petunjuknya yang menghalang hawa nafsu mereka yang mahukan perkara haram dalam segala aspek, khususnya kekuasaan politik dan kekayaan ekonomi yang boleh digunakan bagi memenuhi kemahuan nafsu semata-mata, sehingga agamawan mereka meminda Kitab Allah (Taurat dan Injil), kecuali segelintir sahaja yang beriman dan budiman yang dipinggirkan. Maka Allah juga memerintahkan supaya umat Islam lebih bersabar dan bersikap pemaaf terhadap mereka selagi mereka tidak menceroboh dan melampaui batas.

Kini kita menyaksikan tamadun barat berasaskan kemajuan sains dan teknologi tanpa petunjuk telah mengalami keruntuhannya yang merudum dengan tangan-tangan mereka sendiri, sehingga mencipta senjata pemusnah yang lebih ganas daripada binatang paling buas, membangunkan negara sehingga merosakkan alam sekitar dan mencipta bahan-bahan yang merosakkan jasad sendiri. Benarlah firman Allah:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

Namun Islam dan penganutnya pula yang menjadi sasaran, apabila keadaan terkini barat mencipta Islamofobia yang disebarkan kepada kalangan mereka dan ada kalangan penganut Islam yang termakan pengaruhnya dan menjadi alat mereka.

Adapun agenda usaha menghapuskan Al-Quran, bukan caranya mengharamkan kitabnya sehingga dibakar hangus dan dilarang membaca, hanya yang bodoh sahaja bertindak ganas. Mereka yang memahami sensitiviti penganut Islam tidak mungkin mengharamkan Al-Quran secara langsung atau mengharamkan Solat Jumaat yang merukunkan khutbah atau mengharamkan Ibadat Haji yang berjaya mengumpulkan umat Islam daripada seluruh pelosok dunia, tetapi mereka menyerang melalui pengurusan, pendidikan, pelajaran dan media dengan tujuan untuk melemahkan keyakinan kepada Al-Quran dan menghilangkan ilmunya seperti menolak Hadis, seterusnya menghakiskan amalannya.

Kita dapat menyaksikan kejayaan mereka sementara waktu melahirkan penyangak-penyangak di kalangan umat Islam sendiri selepas kemerdekaan. Ada kalangan yang menganggap tidak penting lagi kepada Al-Quran kerana bertuhankan kemajuan sains dan teknologi yang mengodanya, kononnya tidak perlu ramai para ulama dan ahli qurra’ yang mendalami ilmu Al-Quran dan Sunnah. Maka sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz menjadi sasaran, khususnya apabila mereka mendapati adanya kelemahan walaupun sedikit. Padahal mereka tahu betapa sekolah itu boleh bergerak dengan hanya sumbangan si miskin yang lebih banyak dan hanya segelintir kalangan kaya raya memberi sumbangan.

Ada kalangan mereka berusaha mengisi Hari Jumaat dengan menghapuskan cuti supaya diisi dengan kesibukan, namun mereka boleh pula menukarkan cuti kepada Hari Ahad, kononnya kerana kepentingan hubungan ekonomi. Ada juga kalangan yang menyusahkan pengurusan para jemaah Haji di Jeddah bukannya di Kuala Lumpur yang sangat mudah, di mana layanan terhadap pelabur dan pelancong lebih dimudahkan daripada layanan terhadap tetamu Allah yang menunaikan Haji dan Umrah.

Mereka menggalakkan golongan yang boleh meragukan terhadap ajaran Islam dan memecahbelahkan umat Islam kerana perbezaan kaum dan mazhab yang menjadi masalah dalaman umat dengan menggunakan mereka yang boleh dipergunakan kerana bodohnya atau bebal dan jahat, serta bersedia menjadi khadam upahan dan kuda tunggangan.

Namun Allah telah menunaikan janjinya memelihara Al-Quran dan pendukungnya dengan firman-Nya:

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ٩ الحجر

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah Al-Hajr: 9)

Di zaman penjajah dahulu betapa pengajian agama dibendung dan dikepung, namun umat Islam di kampung paling miskin berjaya membuka pusat pengajian agama dan Al-Quran dengan sumbangan sesama mereka tanpa bantuan kerajaan penjajah pada masa itu. Dalam masa yang sama, penjajah membuka institusi pendidikan mengikut sistem dan agenda dan strategi yang diatur, sama ada aliran bahasa mereka, bahasa kebangsaan atau aliran agama Islam yang sengaja diwujudkan dengan cara dan matlamatnya tetap untuk melumpuhkan Islam dan penganutnya. Sehingga kita menyaksikan betapa penggunaan huruf Al-Quran dalam Bahasa Ibunda di kalangan bangsa yang menganut Islam berjaya dihapuskan di kebanyakan negara umat Islam, bersama pencemaran bahasanya dan memahami Islam sekadar fardu ain yang sangat lemah.

Mempelajari Al-Quran tanpa kemampuan materialistik dan serba kekurangan menunjukkan kebolehan Islam hidup bersama Al-Quran dan kehaibatannya menyelesaikan masalah semasa yang sentiasa berubah walaupun Islam telah menunjukkan kegagalan semua ideologi dan teori yang lain, namun Islam juga dipersalahkan.

Kini kita sedang menyaksikan kesedaran di kalangan umat Islam sendiri yang ingin kembali semula kepada Islam sama ada golongan yang mengikuti pendidikan dan pengajian Islam secara langsung atau tidak langsung, termasuklah kalangan mereka yang diselam sedalam-dalamnya supaya lemas dalam sistem pendidikan dan pengajian barat, sehingga dijahilkan tentang Islam ataupun mereka yang berada di negara barat sendiri yang menyaksikan kemusnahan barat secara dekat.

Ulama terkenal Al-Marhum Abu Hasan Ali Al-Nadawi menegaskan dalam penulisannya:

“Bahawa Allah menunjukkan Al-Quran adalah mukjizat termasuk cerita dan kisah yang dinyatakan, bukan sekadar cerita, tetapi petunjuk di sepanjang zaman. Apabila Allah S.W.T menghancurkan kezaliman Firaun yang paling kejam dan zalim, sehingga membunuh setiap anak lelaki yang dilahirkan bagi menghalang kelahiran Nabi Musa A.S. yang diramalkan dengan izin Allah benarnya. Tiba-tiba yang hendak dihapuskan kelahirannya dijaga dan dibesarkan di dalam Istana Firaun. Kini penjajah yang mencipta kalangan umat Islam supaya menjadi alat dan perkakas mereka bagi menentang Islam, tiba-tiba muncul di dalam kilang mereka sendiri ramai kalangan yang menyalakan semula cahaya Islam”

Inilah kenyataan firman Allah:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ الصف

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah As-Saff: 8)

Kini jumlah umat Islam di negara barat makin meningkat, bukan sahaja kebanjiran pelarian yang berhijrah daripada negara yang sengaja dihuru-harakan. Bahkan fitnah Islamofobia yang dicipta oleh barat telah menambah minat kalangan ilmuan barat untuk mengkaji terjemahan Al-Quran dan buku-buku ilmu Islam yang diterjemahkan, menyebabkan ada kalangan mereka yang telah menganut Islam dan mempertahankannya.

Maka golongan yang menghina Islam di sana sini, atau meremeh-temehkan pengajian Islam kerana bangunannya yang tidak sempurna, kemudahan asas yang tidak lengkap kerana kemiskinan yang sengaja dibiarkan atau pengajiannya sekadar di peringkat asas paling rendah, sedarlah bahawa semua yang bercakap itu hanya laksana serangga agas yang kecil yang menumpang najis binatang yang berkeliaran.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 29 Zulhijjah 1438H / 20 September 2017