Home Minda Presiden

Jangan Musuhi Penjawat Awam

1539
SHARE

Minda Presiden PAS

JANGAN MUSUHI PENJAWAT AWAM


Konsep demokrasi di Malaysia adalah pemisahan kuasa di antara legislatif dan eksekutif, laksana pemisahan di antara badan kereta, enjin dan pemandunya.

Seringkali betapa baiknya kereta dan enjin, tetapi kalau pemandunya tidak cekap memandu dan mengurus sama ada tidak berlesen atau mendapat lesen terbang, maka perjalanannya juga tidak akan selesa dan selamat.

Begitu juga kalau pemandunya tidak kenal arah hala tuju atau tidak tahu membaca peta perjalanan (road map) yang bercelaru adalah lebih malang, mungkin tidak sampai ke destinasi yang dituju atau terlalu lambat sehingga menghilangkan waktu dan membazirkan minyak. Apatah lagi kalau pemandunya tidak tahu membezakan di antara petrol dan diesel, kalau tersilap minyak yang digunakan boleh merosakkan enjin, lagilah malangnya datang tidak berbau.

Saya sangat menghormati YAB Perdana Menteri yang sangat berpengalaman memimpin negara beberapa penggal sehingga menaikkan nama negara kita di persada antarabangsa.

Saya tetap mengakuinya walaupun sepanjang masa menjadi pembangkang. Malangnya sekarang beliau dibantu oleh Jemaah Menteri yang tidak boleh menolongnya, lebih malang kalau ada yang seperti mahu menolak imam sebelum habis sembahyang yang bukan boleh dibatalkan begitu sahaja, lebih parah lagi kalau terjadi seperti menebuk kapal dalam perjalanan.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:

إِذَا أرَادَ اللَّه بالأمِيرِ خَيْراً، جَعَلَ لَهُ وزيرَ صِدقٍ، إنْ نَسي ذكَّرهُ، وَإن ذَكَرَ أعَانَهُ، وَإذا أَرَاد بهِ غَيرَ ذَلِكَ جعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إنْ نسي لَمْ يُذَكِّره، وَإن ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ”. رواه أَبُو داود بإسنادٍ جيدٍ عَلَى شرط مسلم. رياض الصالحين ط الرسالة (ص: 227).

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang pemimpin itu, nescaya diadakan bersamanya menteri yang benar (baik), kalau pemimpin itu lupa diperingatkannya, kalau pemimpin itu sudah ingat (tidak lupa) nescaya ditolongnya. (Sebaliknya) kalau Allah menghendaki bagi seseorang pemimpin itu keburukan, nescaya diadakan bersamanya menteri yang tidak baik, kalau pemimpin itu lupa nescaya tidak diperingatkannya, dan kalau pemimpin itu sudah baik nescaya tidak ditolongnya”. (Riwayat Abu Daud)

Dalam urusan berkaitan hal ehwal agama Islam, sekiranya tidak diurus dengan baik, maka tidak mendapat petunjuk ke jalan yang betul mengikut petunjuk agama yang betul, seperti semua perkara agama digunakan akal semata-mata tanpa hidayah dan ilmunya berkenaan Al-Din atau tidak mempedulikan ciri-ciri rohaninya.

Contohnya, sekolah-sekolah agama Islam dan Tabung Haji diserahkan atau dicampur urusannya oleh anasir bukan Islam yang tidak sepatutnya dari segi roh dan moral atau kalangan yang jahil berkenaan Islam, maka tujuannya tidak tercapai walaupun niatnya baik dan ikhlas, kesudahannya menjadi lebai malang.

Begitu juga dalam urusan kewangan sama ada banyak duit dalam simpanan atau berhutang sebanyak-banyaknya, kalau salah urusnya jadilah boros seperti mencurah garam ke dalam laut yang sudah masin, atau jadilah bakhil seperti garam yang sedikit tidak sepadan makanan yang hendak dicukupkan masinnya.

Sama malangnya kalau tukang masak yang kemahirannya menggunakan senduk dan sudu ditugaskan dalam perkara senjata canggih mempertahankan negara, kerani yang pandai menulis sahaja disuruh menanam padi, dan penghulu kampung ditugaskan menjaga bandar raya.

Sebenarnya kita mempunyai penjawat awam yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman dalam kerjayanya. Maka janganlah disalahkan mereka, sekali pun berlaku banyak perkara yang tidak menyenangkan rakyat. Apabila rakyat yang memilih kerajaan melalui pilihan raya, maka jangan menyalahkan penjawat awam yang menjadi jentera kerajaan.

Dalam negara demokrasi, rakyat laksana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang meluluskan lesen memandu, kalau silap mengundi maka laksana meluluskan lesen terbang kepada pemandu.

Rakyat juga boleh diumpamakan seperti penumpang yang memilih kenderaan untuk ke destinasi. Kalau mahu pergi ke Utara Semenanjung, janganlah menaiki bas ekspres yang menghala ke Singapura atau sebaliknya, hanya merugikan masa dan duit sahaja. Maka jangan disalahkan jentera yang menjalankan kenderaan itu. Marah kepada diri sendiri atau tegur pemandu itu baik-baik, pasti semuanya selamat.

Kita dapati di negara maju rakyatnya berilmu, menjadikan pilihan raya satu perkara yang sangat diberi perhatian, maka mereka tidak sewenang-wenangnya memilih kerajaan dan pemimpinnya, sehingga boleh diatur dengan bijak bagi menyelamatkan rakyat dan negara.

Para pemimpinnya pula bermaruah, sehingga ada menteri yang meletakkan jawatan kalau dirinya sendiri merasa bersalah. Bahkan dilakukan islah di tengah perjalanan tanpa menyusahkan rakyat dan merosakkan negara.

Rasulullah S.A.W. menyuruh umatnya sangat berhemat memilih pemimpin dan jangan terlalu bernafsu mahu jadi pemimpin. Sabdanya:

نا والله لا نولِّي هذا العمل أحداً سأله، أو أحداً حرص عليه (متفق عليه)

“Sesungguhnya Demi Allah! Kami tidak melantik seorang yang meminta-minta jawatan atau terlalu rakus kepada jawatan”

Pendirian politik pilihan raya tidak seharusnya dipandang remeh seperti tertarik kepada syarahan penjual ubat yang petah bersyarah tanpa ilmu perubatan dan penyakitnya, sehingga memilih apa sahaja dan siapa sahaja yang sedap didengar dan dipandang. Akhirnya terpilihlah meraka yang sesat ideologinya atau tersasul memilih yang bercampur aduk pemikirannya atau tunggul kayu yang tidak berfungsi.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 13 Syaaban 1440 / 19 April 2019