Home Berita PAS Terengganu

Jangan lalai, terus patuh untuk menang

20
SHARE

KUALA TERENGGANU, 2 Julai – Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi mengingatkan masyarakat supaya terus mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi terus mencatatkan penurunan jangkitan di negeri itu.

Mengulas tentang berita baik bahawa Terengganu bakal beralih ke Fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tular semalam, beliau berkata, kelalaian bakal menyebabkan penularan meningkat kembali di negeri itu.

“Untuk kita beralih ke fasa dua, kita agak tersangkut dengan kadar peratus penduduk yang mendapat dos kedua. Sehingga hari ini, pencapaian Terengganu hanyalah 7.1 peratus (penduduk menerima dos kedua) berdasarkan populasi rakyat sebanyak 1.259 juta orang.

“Tetapi dengan bekalan dos yang tinggi pada bulan ini, kita akan cuba pastikan kadar vaksinasi dos kedua boleh ditingkatkan supaya kita boleh bergerak ke fasa seterusnya dengan lebih cepat,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Terengganu Trade Centre (TTC), hari ini.

Jelasnya, menjadi harapan pelbagai peringkat barisan hadapan supaya SOP terus dikekalkan sepanjang fasa kedua nanti.

“Menjadi harapan kita semua supaya pematuhan sop dikekalkan, sebab kita agak baik dari segi penularan jangkitan buat masa ini. Kita tidak mahu terlalai dan kes mungkin akan meningkat semula melalui pelbagai punca.

“Pada fasa dua, akan ada lebih banyak sektor yang dibuka. Jadi, semua orang perlu lebih berjaga-jaga dan berhati-hati,” katanya.

Dalam program vaksinasi di TTC hari ini, seramai 200 golongan orang kurang upaya (OKU) menerima vaksinasi dos pertama melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) dan beberapa pihak lain.