Home Minda Presiden

Jangan Jadi Parti ‘Minuman Cola’

936
SHARE


Minda Presiden PAS

JANGAN JADI PARTI ‘MINUMAN COLA’


Minuman Cola adalah minuman ringan terkenal di seluruh dunia yang mengeluarkan sekejap sahaja gas kuat apabila dibuka penutupnya. Ia mempunyai perisa gula dan lain-lain yang sedap diminum sementara waktu, namun mempunyai kesan sampingan yang tidak dipedulikan oleh penggemarnya.

Memilih prinsip, konsep dan matlamat perjuangan kehidupan manusia yang sangat panjang perhitungan dan banyak cabarannya, tidak boleh diterjemahkan mengikut semangat minuman Cola tersebut.

Namun ada di kalangan yang menubuhkan kelompok perjuangan mengikut konsep minuman Cola, kerana memilih jalan pintas yang dikira cepat bagi mencapai matlamat, atau sekadar melepaskan geram protes tanpa berfikir panjang, lalu ditubuhkan kumpulannya. Lebih malang kalau tujuannya tidak ikhlas kerana Allah yang wajib bagi umat Islam.

Kalau niatnya hanya bertujuan untuk pangkat dan kedudukan di menara tinggi, lalu mencari jalan pintas paling segera (shortcut), maka ia sekadar sendawa dan keluar angin selepas minuman Cola.

Allah berfirman memberikan petunjuk:

﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ٢٥ وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٖ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ ٱجۡتُثَّتۡ مِن فَوۡقِ ٱلۡأَرۡضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٖ٢٦ يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّٰلِمِينَۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ٢٧﴾

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. (24); Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (25); Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun. (26); Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di Akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki” (27). (Surah Ibrahim: 24-27)

Kalimah yang baik itu adalah kebenaran yang diredhai Allah, bukan sekadar mencari keredhaan manusia untuk mendapat sokongan seberapa segera sehingga sanggup menipu rakyat dengan janji bohong dan perkara yang mustahil dicapai.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:

مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ، رَضِيَ الله عَنْهُ، وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ، سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ، وَأَسْخَطَ عليه الناس )أخرجه الترمذي في جامعه وابن حبان في صحيحه بإسنادٍ صحيح(

“Sesiapa yang menuntut keredhaan Allah walaupun dimarahi oleh manusia, nescaya Allah meredhainya dan dijadikan oleh Allah manusia meredhainya. Barangsiapa menuntut keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah, nescaya dimurkai Allah dan dijadikan manusia memarahinya”. (Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dalam Jami’ dan Ibnu Hibban dalam Shahih dengan sanad yang shahih)

Demikianlah akibat kepada mereka yang mencari kemenangan segera bagi perjuangan yang sempit dan dekat perjalanannya, bukan kerana Allah dan tidak sebenarnya membela rakyat dengan melakukan apa sahaja yang akan menerima padahnya.

Maka Allah memerintahkan supaya memilih jalan yang diyakini benarnya yang membawa kebaikan di dunia dan berwawasan sehingga Hari Akhirat, bukan kepentingan dunia yang segera bagi diri dan puaknya sahaja.

Menegakkan kebenaran itu wajib berkonsepkan istiqamah, sehingga bersedia menjadi laksana lilin yang membakar diri bagi menerangi sekelilingnya.

Seorang sahabat bernama Sufyan bin Abdullah R.A. meminta Rasulullah S.A.W. memberikan wasiat kepadanya, lalu Baginda S.A.W. bersabda:

قل آمنت بالله ثم استقم (رواه مسلم)

“Katakan aku beriman (percaya) kepada Allah, kemudian beristiqamah”. (Riwayat Muslim)

Gunakan akal mencari ilmu yang benar dan memahaminya, berjemaah dengan bersaudara, jangan bersendirian dan berkelahi, namun boleh berbeza pendapat, tetapi tetap bergantung kepada tali yang satu, yakni tali Allah (Islam), seterusnya sentiasa bermunajat kepada Allah setiap rakaat solat dengan khusyuk memohon Hidayah Al-Din yang memandu akal dan ilmu.

Allah berpesan di dalam Al Quran:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus (Islam), maka ikutilahnya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalanNya. Demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa”. (Surah Al-An’aam: 153)

Firman Allah:

﴿ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ …٢٥٧﴾

“Allah Pelindung bagi orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan yang banyak kepada cahaya yang satu sahaja..”. (Surah Al-Baqarah: 257)

Cahaya kebenaran hanya satu, adapun kegelapannya terlalu banyak. Pilihlah cahaya yang satu (Islam).

Bagi mencapainya memerlukan kematangan berfikir, kemantapan ilmu dan bertafaqquh (faham) kerana kehidupan duniawi sangat berliku untuk menghadapi cabaran yang datang dari setiap penjuru dengan mengajak kepadanya melalui hujah yang bercampur aduk antara benar dan bohong serta godaan yang menarik. Semuanya menyuarakan kebenaran, tiada yang mengaku salah dan sesat.

Allah melaporkan riwayat perjalanan sejarah manusia:

﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾

“Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para Nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendakNya. Dan Allah selalu memberi petunjuk bagi orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus”. (Surah Al-Baqarah: 213)

Ibnu Abbas R.A. menafsirkan ayat ini bahawa manusia bermula dengan Nabi Adam A.S. membawa petunjuk Islam daripada Allah, sehingga satu abad selepas kewafatannya, berlaku penyelewengan daripada hidayah Allah.

Terdapat daripada kalangan manusia yang mencipta perkara di luar kemampuan akal dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah sehingga memesongkan agama dan cara hidup, lalu dilantik Nabi Nuh A.S. menjadi rasul pertama berjuang.

Seterusnya para rasul yang silih berganti membawa Islam yang sempurna dalam urusan agama dan cara hidup, sehingga kedatangan Rasul Akhir Zaman, Nabi Muhammad S.A.W. bersama mukjizat Al-Quran yang tiada Rasul dan Nabi selepasnya.

Adapun kesinambungan risalahnya dilangsungkan oleh kumpulan Islam yang dinyatakan ciri-ciri dan sifat-sifatnya dalam beberapa ayat Al-Quran yang menjadi petunjuk. Jika kekal dan beristiqamah dengannya sahaja boleh mengekalkan ketahanannya.

Tanpa istiqamah bersama Islam menjadikan kumpulan itu tumbang dalam perjalanan hidup atau hilang di dunia. Tumbang dan tercabut laksana pokok tanpa akar dan tunjang yang kukuh, atau hanyut laksana pokok kiambang di atas permukaan air yang terapung bersama pasang surutnya, hanyut bersama air yang berarus dan kering tanpa air pada musim kemarau.

Namun beristiqamah bersama hidayah yang sebenar laksana pokok yang akar dan tunjangnya sangat kuat dan tidak dapat ditumbangkan. Kalau dipotong dahannya tidak mati, bahkan menumbuhkan cabang yang lebih banyak dan buah yang makin lebat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 12 Rabi’ul Akhir 1441 / 9 Disember 2019