Home Berita PAS Perlis

Jangan buka pintu untuk PH kembali berkuasa

207
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 22 Jun: Para pemimpin parti-parti dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perkara yang boleh membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa.

Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja merupakan suatu bentuk pengkhianatan kepada rakyat dan negara, malah akan mengembalikan umat Islam dan Melayu ke ‘zaman gelap’ seperti yang pernah berlaku pada era pemerintahan pakatan tersebut.

“Timbul pula desas-desus ada jajaran baru hendak diwujudkan. Saya berharap ianya tidak akan berlaku dan negara kita dijauhkan daripada bencana ini.

“Kita sudah mengalami suasana 22 bulan Pakatan Harapan memerintah yang sangat memeritkan dan mengerikan, adakah kita bersedia membuka pintu untuk PH kembali berkuasa?” Katanya dalam hantaran Facebook beliau semalam.

Beliau mengulas berkenaan tindak-tanduk segelintir pemimpin yang sejak kebelakangan ini gemar membuat kenyataan-kenyataan yang dilihat merugikan kedua-dua gabungan berkenaan (MN dan PN).

Ujarnya, tindakan sedemikian hanya memberikan semula talian hayat untuk PH kembali berkuasa dan sekiranya ia berlaku, boleh mengancam maruah agama dan kepentingan umat Islam di negara ini.

Tegas beliau, semua pemimpin yang telah diberikan amanah untuk memimpin, mestilah berpegang kepada amanah dan prinsip perjuangan, bukan mengkhianatinya.

“Lebih menyedihkan, apabila kepentingan peribadi melebihi agenda perjuangan, maka apa jua tindakan dibuat dirasakan betul, sehingga menggadaikan maruah dan kepentingan ummah di Malaysia.

“Justeru, pilihlah pemimpin yang mempunyai sifat benar dalam ucapan, berpegang dengan janji dan menunaikan amanah dengan sebaiknya,” katanya.