Home Berita PAS Perak

“Jangan Ada Anak Perak Yang Tidak Dapat Meneruskan Pelajaran Kerana Tidak Ada Duit | YB Razman Zakaria

585
SHARE

BAGAN SERAI

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, YB Tuan Haji Razman Zakaria memaklumkan kerajaan negeri mempunyai beberapa saluran untuk membantu khususnya golongan asnaf agar mereka tidak tercicir dalam arus pendidikan.

Bantuan zakat yang dikelolakan oleh pihak Baitulmal, Yayasan Perak, badan pendidikan serta kuasa eksekutif kerajaan itu sendiri adalah antara saluran yang dapat membantu demi memastikan pendidikan khususnya untuk anak perak dapat diteruskan.

Susulan daripada itu beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol menekankan agar semua pihak terutama guru-guru dan pihak sekolah dapat memainkan peranan demi memastikan matlamat dan harapan yang ingin dibawa iaitu tiada anak perak yang tidak dapat meneruskan pelajaran kerana masalah kewangan dapat direalisasikan.

“Bermula dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi! Jangan ada anak Perak yang tidak dapat meneruskan pelajaran kerana tidak ada duit.

“Kita punya saluran-saluran untuk membantu antaranya Baitulmal, Yayasan Perak dan bantuan khusus daripada kerajaan sendiri yang boleh kita usahakan demi memastikan hasrat ini tercapai.

“Kita juga ada menyediakan sekolah modul khas di Redang Panjang. Sekolah ini menyediakan tempat untuk golongan asnaf atau golongan yang tidak kuat dari sumber kewangan untuk meneruskan pelajaran boleh masuk ke sini.

“Sekolah menyediakan asrama bermula dari darjah 4 hingga ke peringkat menengah dengan bantuan-bantuan. Jadi kita minta guru-guru beri maklumat sekiranya ada di kalangan pelajar yang tidak meneruskan pelajaran atas masalah kewangan dapat kita tempatkan di sini.

“Sekali lagi Pak teh ingatkan jangan ada anak perak bermula dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi yang tidak dapat meneruskan pelajaran kerana tak ada duit”, ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan ‘Pak Teh’ ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan MAIPK di Dewan Seri Gemilang, Sekolah Kebangsaan tebok Panchor.

Menurut guru besar Khairul anuar Sulaiman, bantuan yang diberikan pada tahun ini berjumlah RM200 bagi setiap pelajar meningkat sekali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Seramai 21 pelajar layak menerima bantuan ini dengan penerima diwakili oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Majlis tamat sekitar jam 11.30 pagi dan diakhiri dengan sesi sidang media bersama wartawan yang hadir. Turut hadir wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Kerian Encik Rosli Jahaya.