Home Artikel PAS Sabah

JAMNS anjur perkhemahan eratkan persaudaraan sesama anggota

210
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis
2 Disember 2019

SANDAKAN : Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah (JAMNS) telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Tahunan Amal 2019 (PTA19) di Scouts Nature Park dekat sini selama 3 hari 2 malam bermula 29 November hingga 1 Disember.

Perkhemahan yang berkonsepkan pertandingan sesama anggota JAMNS itu bertujuan untuk mengeratkan persaudaraan dalam kalangan mereka.

Antara aktiviti yang dipertandingkan ialah ‘water confident’, ‘compass marching’, kejuruteraan, medik, ikatan, dam haji, karom, memanah, dart, ‘Amal Race’ dan pelbagai lagi.

Buat julung kalinya juga PTA kali ini menyaksikan peserta yang terdiri daripada 15 buah kawasan dari seluruh negeri itu diagihkankan kepada 4 kompeni sesuai dengan format PTA yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Agihan mengikut kompeni ini dibuat agar anggota JAMNS yang memiliki pelbagai latar belakang kemahiran ini dapat saling bertukar ilmu disamping menyeimbangkan kekuatan peserta.

Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Norazman Ishak ketika merasmikan program ini memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua anggota yang mengambil bahagian dalam semua acara dengan penuh semangat.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada JAMNS yang dipimpin oleh Pengarahnya, Masru Mustakim kerana berjaya menganjurkan PTA yang mengikuti konsep PTA peringkat Kebangsaan.

Sepanjang PTA berlangsung turut menyaksikan penyertaan beberapa orang pimpinan PAS seperti Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Mustaman Mustain.

Selain itu, PTA19 ini turut diisi dengan aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah, qiamullail, tazkirah, bacaan zikir al-ma’thurat dan lain-lain yang menerapkan konsep pertama dalam 5 teras Budaya Amal iaitu keimanan dan ketakwaan.

PTA yang berlangsung dalam suasana kekeluargaan ini telah dilabuhkan tirainya dengan gimik penyerahan bendera JAMNS oleh Norazman kepada wakil tuan rumah tahun 2020 iaitu Jabatan Amal Malaysia Kawasan Keningau sambil disaksikan wakil tuan rumah tahun ini, Zon Sandakan.