Home Berita PAS Selangor

JAMK Sungai Besar sampaikan bantuan kepada keluarga yang terjejas – JAMK Sungai Besar

12
SHARE

“Beramal Kerana Allah” | Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor

Oleh : Umar Al-Hayawi

Sungai Besar | “Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih”, merupakan peribahasa yang memaksudkan bersatu padu dalam segala hal. Sebagai contoh jika dalam aktiviti kebajikan, ada pihak yang tolong mencari individu yang perlu dibantu dan ada pihak yang menyampaikan bantuan. Kerjasama seperti itu membuatkan bantuan dapat disampaikan dengan lebih efisyen dan mudah.

Jabatan Amal Malaysia Kawasan Sungai Besar telah menerima makluman daripada Khidmat Malaysia Negeri Selangor mengenai beberapa keluarga yang perlu dibantu dan Jabatan Amal Sungai Besar telah menggerakkan anggotanya untuk menyampaikan sedikit bantuan kepada 2 buah keluarga di Kampung Sungai Labu, Sekinchan.

Menurut kenyataan yang dilaporkan KM Selangor kepada JAMK Sungai Besar, sepanjang PKP yang berlangsung ketika ini, keluarga tersebut dimaklumkan telah hilang mata pencarian mereka. Sebelum ini, mereka menyara keluarga dengan menjual aiskrim, tetapi disebabkan PKP ini mereka tidak boleh meneruskan perniagaan tersebut. Ditambah lagi dengan ayah kepada keluarga tersebut menghidap sakit gout yang membataskan sedikit pergerakan.

JAMK Sungai Besar melalui Komandan, Leman Piren telah hadir dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga ini untuk meringankan sedikit beban yang dipikul.

Kehidupan sepanjang PKP ini memang sangat mencabar fizikal dan mental kita. Mari sama-sama kita cakna akan jiran tetangga dan bantu mereka semampu yang boleh atau salurkan maklumat kepada pihak-pihak yang boleh membantu seperti wakil rakyat, Lembaga Zakat Selangor, pihak pengurusan masjid dan NGO setempat. Muafakat antara masyarakat setempat adalah antara nilai murni yang boleh diterapkan bersama dalam kita mendepani musim Covid-19 ini.

“Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh”

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor