Home Berita PAS Pusat

Jamaahlah sahabat terbaik kita.

598
SHARE

oleh: Ustaz Nik Mohamad Abduh
1) Sahabat

Sekuat dan sehebat mana kita, kita tetap perlukan ramai sahabat untuk mengiringi perjalanan kita. Dalam kuat kita, kita tetap lemah dan fakir di hadapan cabaran kehidupan yang tak pernah reda.

Cuma, sekuat dan seramai mana sahabat kita, kita tetap perlukan kekuatan sendiri untuk meneruskan perjalanan. Kekuatan di luar bukanlah pengganti kekuatan dalam diri sendiri. Kekuatan sahabat selamanya adalah untuk menyokong dan mengiringi perjalanan.

Justeru nasib kita adalah tergadai pada kita sendiri.

Kita lemah dan tanpa sahabat, kita akan karam dan rebah. Itulah penamat yang merugikan.

Kita lemah dan dengan sahabat, kita masih dibantu dan dipapah mereka selama mana kita menghargai bantuan mereka. Dengan mereka, kita akan tiba ke destinasi.

Kita kuat dan tanpa sahabat, kita ketinggalan di belakang dan tidak akan menempa kecemerlangan di tempat pertama. Tiada kemeriahan hidup.

Kita kuat dan dengan sahabat, tiada lagi selain kecemerlangan, kegembiraan dan kemeriahan hidup.

2) Jamaah Sebagai Sahabat

Kita ada dua. Kita sebagai individu dan kita sebagai satu bahagian daripada binaan umat yang besar.

Cabaran pula ada dua. Cabaran buat diri dan cabaran buat umat.

Untuk kita sebagai individu, cabaran itu kalanya amatlah kuat sehingga boleh mematahkan tulang belakang kita. Sahabatlah pembantu dan penyelamat.

Adapun kita sebagai sebahagian daripada binaan umat, cabaran dan ujian akan lebih besar dan berterusan. Seperti dunia seluruhnya menerpa ke arah kita sebagaimana telah digambarkan oleh al Rasul صلى الله عليه وسلم sendiri mengenai nasib umatnya di akhir zaman.

Justeru sekadar kekuatan diri dan kekuatan dua tiga kerat sahabat bukanlah penyelamat kita dalam binaan umat. Kita perlukan sahabat sebenar di atas kekuatan sahabat.

Itulah kekuatan jamaah Islam yang benar dan gagah. Kekuatan jamaah Islam yang menguruskan jihad umat Islam menentang cabaran musuh Islam yang merancang siang dan malam untuk melemahkan dan menghancurkannya.

Kita perlukan sahabat. Kita juga perlukan sahabat yang lebih besar dan lebih gagah kerana kita adalah sebahagian daripada sebuah projek besar pembikinan umat Islam sebagai umat terbaik yang memandu manusia menuju Allah dan kejayaan di dunia dan akhirat.

Jamaahlah sahabat terbaik kita. Biasakan diri dan latihlah diri untuk berkembang sebagai ahli jamaah Islam yang terpuji.