Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Jaga Islam Jangan Calarkan Kemulianyya

568
SHARE

JAGA ISLAM; JANGAN CALARKAN KEMULIAANNYA

Isu berkaitan hifzu al-Din menjadi tular akibat kenyataan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri beberapa hari lalu. Jelas sekali melalui ucapannya bahawa beliau berpegang kepada pemikiran perlunya dijaga semua agama yang ada dan tidak hanya terhad kepada agama Islam sahaja. Kenyataan ini jauh tersasar daripada padangan Jumhur Ulama yang menegaskan bahawa al-Din dalam maksud _hifzu al-Din_ ialah menjaga Islam.

Perbincangan berkaitan hal ini sudah lama diutarakan dalam disiplin ilmu Maqasid Syar’iyyah yang ditulis oleh ramai ulama yang muktabar. Tujuan Allah menurunkan Islam adalah untuk menyelamatkan manusia keseluruhannya daripada malapetaka dan azab Allah. Menurut Imam Izzuddin bin Abdul Salam, tujuan agama dan hukum adalah (درء المفاسد وجلب المصالح) iaitu menghindari mafsadah dan menarik kemaslahatan. Inilah objektif utama Allah mendatangkan agama Islam demi kesejahteraan kehidupan di dunia dan dapat memelihara kepentingan manusia selepas kematian mereka.

Ini membuktikan bahawa kedatangan Islam merupakan rahmat kepada manusia sekalian alam, sebagaimana firman Allah S.W.T:

*{وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ}*

Maksudnya: *_“Kami tidak mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan menjadi rahmat untuk semesta alam”._* [al-Anbiyaa’: 107]

Para ulama telah membincangkan berkenaan maksud _hifzu al-Din_ iaitu ia suatu istilah yang digunakan oleh para ulama fiqh bagi menjelaskan maksud memelihara agama dalam konteks maqasid syari’yyah. Agama yang dimaksudkan ialah Islam, iaitu agama yang diredhai. Firman Allah SWT:

*{اِنَّ الدِّيۡنَ عِنۡدَ اللّٰهِ الۡاِسۡلَامُ}*

Maksudnya: *_“Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam”._* [Ali-Imran: 19]

Firman Allah SWT lagi:

*{وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۗ وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا}*

Maksudnya: *_“Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan dan dia mengikuti agama Ibrahim yang lurus?”._* [al-Nisaa’: 125]

Jelas di sini bahawa perkataan al-Din adalah merujuk kepada agama Islam yang terkandung di dalamnya akidah, syariat dan akhlak. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

*{الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينً}*

Maksudnya: *_“pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agama bagimu”._* [al-Maidah: 3]

Justeru, dengan menjaga agama Islam bermakna umat Islam dengan sendirinya menjaga _Dharuriyyat al-Khamsah_ yang menjadi kewajiban umat Islam menjaganya iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Imam al-Syathibi yang terkenal dengan bapa maqasid membahagikan urusan pemeliharaan kesucian agama Islam kepada dua aspek iaitu; memastikan ajaran Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan keduanya agama Islam wajib dilindungi daripada diseleweng dan dimusnahkan dengan memastikan penganutnya menjauhi dosa kecil, dosa besar dan sebarang perkara yang membawa kepada syirik.

Maka, di sinilah lahirnya maksud yang sebenar _hifzu al-Din_ iaitu pemeliharaan kesucian agama Islam dengan memastikan ia didaulatkan dan diamalkan serta dilindungi daripada sebarang bentuk syirik dan pencemaran. Adapun agama selain Islam diberi kebebasan untuk diamalkan tanpa sebarang diskriminasi. Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam dan hak untuk beribadat diberi kebebasan sepenuhnya tetapi ia tidak termasuk dalam maksud _hifzu al-Din_ yang mensyaratkan suatu penjagaan rapi dengan tidak dicemari daripada sebarang kesyirikan. Oleh itu, tidak boleh disabitkan _hifzu al-Din_ dengan agama selain Islam.

Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru para pemimpin utama kerajaan agar berhati-hati dalam membuat kenyataan berkaitan prinsip yang ada dalam agama Islam agar ianya tidak keliru dan menjadi salahfaham di kalangan masyarakat sehingga mendatangkan kebencian antara masyarakat pelbagai kaum. Islam hendaklah diberi kedudukan yang tertinggi dan penjagaan yang sempurna sehingga ianya tertegak di negara kita sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Sejahtera Bersama Islam”

“Membina Negara Sejahtera”

*USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD*
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

2 Zulqaedah 1439H / 15 Julai 2018 (Ahad)

➖➖➖➖➖➖➖➖➖➖