Home Berita PAS Perlis

Jabatan Amal Perlis siapsiaga sertai misi banjir

422
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 19 Dis: Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMNPs) kini telah bersiap sedia untuk dikerah pada bila-bila masa bagi menyertai misi bantuan banjir.

Menurut pengarahnya Mohd Yasin Mohd Yunus, arahan telah dikeluarkan kepada seluruh anggotanya supaya bersiap sedia untuk digerakkan ke mana-mana sahaja apabila diperlukan.

“Ketika ini, belum ada sebarang amaran banjir dikeluarkan di negeri ini (Perlis) walaupun sejak beberapa hari lalu, boleh dikatakan hujan turun hampir sepanjang hari.

“Namun, saya telah mengarahkan semua anggota JAMNPs agar bersiap sedia untuk digerakkan bagi menyertai misi bantuan banjir pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd. Yasin lagi, berikutan kejadian banjir besar yang berlaku di beberapa buah negeri pada ketika ini, JAMNPs turut mengambil inisiatif mengadakan tabung bantuan banjir bagi membantu menyalurkan bantuan kewangan.

“Buat masa ini, belum ada kerahan untuk kami turun membnatu, namun kami tetap memantau keadaan banjir yang berlaku, khususnya di Selangor dan beberapa buah negeri di Pantai Timur.

“Pada masa yang sama, kami juga telah menggerakkan tabung Dana Bantuan Banjir 2021 dan sumbangan daripada orang ramai amatlah diharapkan agar kita dapat membantu menyalurkan bantuan kewangan dengan kadar yang segera kepada mereka yang terjejas.

“Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank bernombor 5590 1231 5358 atau Bank Muamalat (0901 0002 6457 14) atas nama Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis dengan menyertakan bukti sumbangan ke nombor 019-492 5459 (Dr. Wan) untuk tujuan rekod,” katanya.