Home Kenyataan Media PAS Kedah

Modul Akhlak dan Aqidah solusi budaya buli

138
SHARE

Oleh NURUL AMIN BIN HAMID

ALOR SETAR – Pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah meneliti dan menekuni isu buli yang melibatkan pelajar MRSM  baru-baru ini, melihat rata-rata netizen dan masyarakat menghendaki hukuman segera terhadap mereka dan hasilnya pelajar terbabit dibuang daripada semua pusat pengajian MARA.

Ramai yang berpuas hati dengan hukuman sedemikian ada juga yang menghendaki lebih daripada itu.

Pada kami, penyelesaian ‘root cause problem’ atau penyelesaian akar umbi  adalah perlu diberi keutamaan kepada masalah buli yang pernah meragut nyawa seorang siswa universiti awam tempatan.

Cadangan memilih warden bekas komando dan polis pencen misalnya masih dalam tahap penguatkuasaan undang-undang dan masih jauh dari punca dan asas masalah.

Misalnya paradigma dan fahaman bahawa buli itu satu kriteria penting untuk menjalin hubungan akrab antara senior dan junior masih berakar. Ada beberapa lepasan sekolah berasrama penuh mengeluar pandangan di medsos menyelar pihak yang mengkritik tradisi “ragging” di asrama.

Paradigma dan fahaman yang sebenar perlu diterapkan ke dalam dada dan jiwa pelajar adalah dasar kasih dan sayang serta aqidah yang sebenarnya. Dari aspek kasih dan akhlak, tiada isu pelajar junior perlu dahulu memberikan salam kepada yang tua, malah Rasulullah sendiri memulakan salam kepada sesiapa yang ditemuinya. Adakah senior asrama lebih mulia daripada Rasulullah. Pelajar senior perlu diajar tanggungjawab memastikan junior mentaati Allah, menjaga solat, dan memiliki sahsiah tinggi bukannya dengan menggasak mereka dengan menunjukkan kependekaran.

Dari aspek aqidah, tradisi menunjukkan senior hebat dan berkuasa adalah bercanggah. Perlu diterapkan kebesaran Allah, kehebatan Allah dan hanya Allah yang berkuasa dalam setiap sesuatu ke jiwa para remaja sekolah semua. Hal ini memerlukan modul bersepadu untuk mengubah paradigma warden, guru dan para senior. Kursus khas pengadaban (ta’dib) mungkin boleh diperkenalkan dan ia mesti berlandaskan pendidikan Islam dan akhlak bukan hanya teori komunikasi dan kaunseling yang biasa.

Kami berharap pihak KPM, MARA dan autoriti asrama mengambil berat isu ini dan bukan sekadar menyapu sampah dibawah tikar sebagai penyelesaiannya.