Home Berita PAS Perak

Jabatan AMAL PAS curah keringat di PKPD Samudera

104
SHARE

Oleh : Hafiz Green Mart 13

LUMUT, Seramai 10,000 penduduk daripada 2,260 buah keluarga yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Samudera, Seri Manjung telah menerima khidmat bantuan PAS Kawasan Lumut melalui Jabatan Amal Malaysia Kawasan Lumut (JAM) di sini sepanjang tempoh PKPD.

Anggota JAM Kawasan Lumut yang telah sedia mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini telah menawarkan khidmat bantuan tenaga buat seluruh penduduk terkesan sepanjang tempoh PKPD.

JAM Kawasan Lumut bersama Dewan Pemuda PAS Lumut di Surau MADAH membungkus sekilogram ikan temenung dan sayuran untuk diagihkan kepada seluruh rumah di Taman Samudera.

Tambahan lagi, JAM kawasan Lumut turut membantu Umno Lumut membungkus ikan sumbangan daripada pihak Umno Bahagian Lumut di Dewan Badminton Daerah Manjung disamping edaran barangan makanan pada hari ketiga PKPD yang lalu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Lumut, Rosli Abd Rahman berkata sumbangan ikan ini adalah hasil kutipan daripada ahli PAS prihatin serta warga Manjung khusus buat penduduk Taman Samudera di samping para dermawan luar yang turut membantu.

“Saya amat terharu dan berterima kasih atas kerjasama Jabatan Amal Kawasan Lumut serta para sukarelawan yang bertungkus lumus mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk PKPD di sini,” jelas Rosli.

Selain itu, JAM kawasan Lumut bersama PAS Kawasan Lumut turut membantu JKM menghantar kiriman barang daripada sanak saudara, kawan-kawan serta sahabat handai kepada mereka yang terkesan seramai 120 kiriman barang pelbagai jenis keperluan melibatkan lima buah pacuan empat roda di sini, sehari suntuk semalam.

Penyelaras Sumbangan dan Agihan JKM, Ahmad Firdaus Zainal Abidin menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid melalui aplikasi WhatsApp semalam.

Turut hadir di JKM Manjung, Bendahari PAS, Zulkifli Ahmad Yusuf, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Kamarulnizam Majid, Komandan JAM, Muazam Hafiz Osman dan para petugas JAM Kawasan Lumut.