Home Artikel PAS Sabah

Jabatan Amal Malaysia derma darah sahut seruan KKM

167
SHARE

Oleh : Reldwan Asmi
27 Mac 2020

SANDAKAN : Bagi menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Amal Malaysia Zon Sandakan (JAMZS) telah mengerahkan anggotanya menderma darah bagi mengisi tabung darah yang semakin berkurangan.

Ia telah dimulakan semalam di Hospital Duchess of Kent, dekat sini apabila beberapa anggota JAMZS telah tampil berbuat demikian yang turut disertai oleh Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah, Masru Mustakim.

Kata Masru, aktiviti tersebut yang melibatkan anggota di sekitar Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan turut dilaksanakan di seluruh negeri Sabah malah di seluruh Malaysia.

“Selain KKM, kami juga menyahut seruan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Haji Khairil Nizam Khiruddin sebelum ini yang meminta berbuat demikian di hospital ataupun klinik kesihatan berdekatan,” jelasnya.

“Program derma darah yang melibatkan anggota kami seperti ini bukanlah aktiviti asing bagi kami, tapi ia adalah agenda tahunan organisasi yang memerlukan penyertaan ahli yang layak menyumbang,” tambah beliau.

“Menderma darah memang digalakkan di dalam Islam kerana ia dapat beri bantuan kepada pesakit yang memerlukan lebih-lebih lagi jika keadaan terdesak dan ia perlu difahami oleh semua anggota,” ulasnya lagi.

Aktiviti semalam yang dibahagikan kepada tiga sesi iaitu pagi, tengah hari dan petang turut disertai oleh Pengerusi Jabatan Penerangan Pemuda PAS Sabah, Salman Darwis, Ketua Dewan Pemuda PAS Libaran, Kamsah Osman, Ketua Unit Tarbiyah JAMZS, Shamsul Rizal Zulfatmi serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa JAMZS.