Home Rencana PAS Selangor

Itqan kunci kemenangan – Mudir SRITI Al-Mustaqim Gombak

17
SHARE

Hatrik SRITI Gombak Dalam MAIS: Itqan Kunci Kemenangan – “SRITI Cemerlang” | Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Selangor

Oleh : Mohamad Kamarul Helmi Mohamad Nawawi
Mudir SRITI Al-Mustaqim Gombak

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Setelah melalui proses yang panjang untuk menempuh MAIS peringkat negeri Selangor, berakhir sudah semuanya dengan membawa berita gembira buat SRITI gombak. Alhamdulillah, dengan izin-Nya kita berjaya mempertahankan kejuaraan sekali lagi untuk tahun ini. Kerana Itqan, Hatrik buat SRITI Gombak! Alhamdulillah.

Tahniah buat semua yang terlibat dalam menjayakan MAIS kali ini. Tahniah kepada semua pemenang yang telah bertungkus lumus memberikan persembahan terbaik dalam MAIS, yang telah mengkagumkan barisan juri dan penonton, tahniah diucapkan!

Yang pertama dan selamanya, kemenangan ini tidak lain adalah atas izin daripada Allah juga. Oleh yang demikian, atas kemenangan ini katakan hadza min fadhli rabbi. Semuanya daripada Allah. Dia yang telah mendatangkan ilham dan mengurniakan bakat buat anak-anak semua. Lebih beruntung lagi, anak-anak berbakat ini direzekikan untuk berada di SRITI Gombak.

Terima kasih buat ibu ayah yang telah mendorong dan mendokong anak-anak, yang juga telah mencungkil bakat anak-anak daripada awal lagi. Tak dapat dinafikan betapa besarnya peranan ibu ayah dalam mendorong anak-anak untuk menyertai pertandingan ini. Jadi, kita dapat lihat kejayaan SRITI Gombak dalam MAIS adalah disumbangkan sebahagian besarnya daripada titik peluh ibu ayah sendiri. Yang pasti, apapun keputusan yang anak peroleh orang pertama yang akan berbangga adalah ibu dan ayah. Orang pertama yang akan memujuk jika belum menang juga pastilah ibu ayah. Bagi yang belum menang pula, jangan risau, kalian semua juga merupakan permata SRITI Gombak, kalian semua tetap pemenang di hati para ustaz dan muallimah, teruskan bersahsiah baik dan mulia. Itu lebih sangat membanggakan kami semua! insyaAllah.

Jika ibu ayah berperanan besar dalam mencungkil bakat anak, para guru pula berperanan dalam mengasah bakat anak-anak. Guru-guru yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam MAIS memainkan peranan yang besar dalam memberikan sokongan dan dalam mempertajamkan persembahan anak-anak. Terima kasih buat muallimah dan ustaz yang bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak bersedia memberikan persembahan terbaik dalam MAIS baik daripada segi verbalnya, gaya persembahannya dan di bahagian teknikal yang turut mendapat pujian daripada ramai pihak. Syabas dan tahniah diucapkan! Tidak lupa, Setinggi penghargaan buat Ustaz Izzudin yang ditaklifkan mengetuai kontinjen SRITI Gombak berserta pasukannya yang berdedikasi.

Setinggi penghargaan diucapkan juga kepada barisan ALP SRITI Gombak yang turut menjadi penguat SRITI Gombak untuk terus berdaya saing dengan SRITI lain mahupun sekolah-sekolah arus perdana. Yang telah memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bagi buat warga SRITI Gombak dalam membentuk sahsiah dan peribadi murid sebaiknya. Kemenangan ini pasti menjadi kebanggan juga buat ALP khusunya. Tahniah dan terima kasih diucapkan!

Sesuai dengan tema perpaduan, kemenangan hari ini juga disebabkan oleh perpaduan dan kesatuan daripada semua pihak. Kita tak mungkin menang kalau kita bersikap kau-kau, aku-aku. Tapi kita menang kerana kita saling menguatkan, saling mendokong dan saling menyokong antara satu sama lain. Dan yang paling penting, kemenangan kita adalah kerana keberanian anak-anak dalam menonjolkan bakat masing-masing. Di usia seawal setahun jagung, anak-anak telah mampu mengekspresikan bakat masing-masing. Menerobos sempadan diri yang selama ini terperangkap dalam tembok malu. Sangat mengkagumkan!

May be an image of 3 people, headscarf and text

Kita tidak meletakkan menang itu wajib tapi kita wajib sedaya upaya mencuba untuk menang. Menang itu rezeki daripada Allah atas segala usaha dan ikhtiar daripada kalian semua. Belum menang bukan bermakna telah kalah dan tiada lagi peluang untuk menang, tapi kita ambil dan pelajari daripada orang yang telah menang untuk terus memperbaiki diri dan yang paling penting jangan mengalah dulu. Jangan luntur semangat kerana pasti masih ada peluang untuk menang di lain waktu. ‘Man jadda wa jada’, siapa berusaha dia pasti berjaya. Allah tak melihat pada hasilnya, ini kerana banyak hasil adalah menurut ketentuan dan aturan Allah, tapi Allah melihat pada usaha kita semua. Sebanyak mana kita berusaha, semoga sebanyak itu juga kebaikan berbalik buat kita.

Akhir kalam, Itqan antara kunci untuk berjaya! Jadi, mulai hari ini, kita bawakan konsep Itqan, semoga kita terus tekun dalam setiap aspek di dalam bilik darjah, mahupun diluar bilik darjah untuk Membina Generasi Rabbani Murabbi insyaAllah.

11 September 2021 | 4 Safar 1443H

“Itqan Kunci Kemenangan”

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor