Home Kenyataaan Media PAS Perak

Isu Pembebasan Muhammed Yusoff Rawther, keadilan mengatasi fitnah dan penindasan

30
SHARE

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN PAS NEGERI PERAK
ISU PEMBEBASAN MUHAMMED YUSOFF RAWTHER
“KEADILAN MENGATASI FITNAH DAN PENINDASAN”
Tarikh: 13 Jun 2025

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

PAS Negeri Perak menzahirkan rasa syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jun 2025 yang membebaskan Muhammed Yusoff Rawther daripada dua pertuduhan berat iaitu memiliki bahan terlarang dan senjata tiruan setelah mahkamah mendapati tiada kes prima facie dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Kita menyaksikan bagaimana seorang rakyat Malaysia telah melalui suatu episod yang penuh tekanan, diaibkan secara terbuka dan dipenjarakan. Fitnah terhadap Yusoff bukan sahaja mencalarkan imej peribadinya, bahkan menyerlahkan kelemahan ketara dalam mekanisme siasatan dan pendakwaan yang sepatutnya menjunjung keadilan, bukan bertindak sebagai alat politik atau tekanan luar.

PAS Negeri Perak amat kesal dengan cara pihak-pihak tertentu menjalankan siasatan yang terburu-buru dan berasaskan prejudis, serta kemungkinan wujudnya niat tersembunyi untuk menjatuhkan karakter beliau. Perkara seperti ini mesti disiasat secara bebas, agar tiada mana-mana agensi atau individu berpengaruh menggunakan kuasa yang ada untuk menindas atau membungkam suara yang tidak sehaluan.

Kami turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan peguam bela, khususnya Tuan Muhammad Rafique Rashid Ali dan pasukannya, yang telah menjalankan tugas dengan penuh amanah dan profesional, membuktikan bahawa keadilan masih boleh ditegakkan di tengah tekanan dan kekeliruan awam.

PAS Negeri Perak menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama mengangkat suara kepada pihak berkuasa:

1. Tegakkan integriti . Semua pihak penguat kuasa, pendakwa dan institusi kehakiman mesti bebas, telus dan beretika dalam menjalankan amanah mereka.

2. Hentikan penyalahgunaan kuasa . Jangan biarkan mana-mana individu dizalimi atas dasar kepentingan politik, agenda tersembunyi atau manipulasi bukti.

3. Doakan kekuatan Buat keluarga Yusoff Rawther, pasukan guaman dan semua yang terlibat agar terus tabah menghadapi ujian, serta dipelihara oleh Allah SWT daripada kezaliman.

Wahai rakyat yang cintakan keadilan,
Jadikan kes ini sebagai pengajaran berharga bahawa tiada siapa kebal daripada penganiayaan, dan tiada yang selamat tanpa sistem keadilan yang adil dan saksama. Marilah kita bersatu menuntut reformasi terhadap tatacara penyiasatan, pendakwaan dan tangkapan agar setiap warganegara mendapat perlindungan sebenar di bawah undang-undang.

Kita tidak mahu negara ini rosak kerana kebobrokan segelintir pihak yang menyalahguna kuasa. Rakyat mesti terus bersuara dan memastikan institusi negara kembali kepada paksi kukuh keadilan, amanah dan kebenaran.

YB KHALIL YAHAYA
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah