Minda Presiden PAS
[Bil: 99 / 2023]
ISU MEMULAUKAN BARANGAN ISRAEL DAN PENYOKONGNYA
Kini, kempen memulaukan barangan Israel dan negara yang membantu Israel sedang giat dilakukan. Hal ini disebabkan Israel sedang membunuh umat Islam di Palestin dengan melampaui batas sifat kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa yang dipersetujui oleh semua negara dan mereka yang berperikemanusiaan.
Amerika Syarikat, Britain, dan beberapa negara sekutu mereka mengisytiharkan sokongan sepenuhnya kepada Israel. Sokongan itu termasuklah melalui pemberian senjata dan harta oleh pemimpin dan syarikat perniagaan Yahudi dan bukan Yahudi yang tergolong dalam pertubuhan Zionis.
Pemulauan barangan mereka ialah salah satu jihad dalam aspek ekonomi dan menentang pencerobohan. Perkara ini termasuk dalam maksud firman Allah SWT:
﴿… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢﴾
“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]
Namun, terserlah dalam kalangan mereka yang dinamakan ustaz, ulama’, atau pendakwah bebas yang terbabas mempertikaikan tindakan pemulauan atau penyekatan sumber tanpa bertafaqquh (tidak memahami kaifiat pelaksanaan ilmu). Begitu juga mereka yang hatinya bersama Zionis mendedahkan isi hati yang sebenar sehingga terkeluar melalui lisan dan tulisan.
Mereka yang tidak bertafaqquh dalam perkara agama ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢﴾
“Tidak sepatutnya bagi orang-orang Mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan mereka dengan kefahaman) dalam urusan agama Islam dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu dapat menjaga diri.” [Surah al-Tawbah: 122]
Ayat ini bermaksud kita hendaklah memahami cabaran semasa yang membahayakan Islam dan pegangan penganutnya.
Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ.
“Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, nescaya Dia menjadikannya faham dalam urusan agama.” [Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, No. 71, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, No. 1037, daripada Mu‘awiyah bin Abi Sufyan]
Hadis ini bermaksud kita hendaklah memahami segala yang tersurat dan tersirat daripada ajaran agama Islam, termasuk cara pelaksanaannya dengan hikmah sehingga mencapai maqasid (tujuan dan hikmat) ajaran Islam. Hal ini demikian supaya ajaran Islam itu dilaksanakan dengan betul sehingga risalahnya menarik hati manusia untuk menerimanya.
Banyak perkara nas dirujuk kepada tafsir al-Quran dan ilmunya, Sunnah dan syarahnya, Sirah Nabawiah dan fiqhnya, sebab turun ayat dan sebab berlakunya hadis yang disabdakan atau diamalkan, serta pelaksanaan yang mencapai maqasid syar‘iyyah dan siyasah syar‘iyyah. Semuanya terkandung dalam kitab-kitab yang muktabar dalam lautan ilmu Islam yang kaya sumbernya, sama ada daripada karangan para ulama’ yang disimpan dalam kitab-kitab turath yang terdahulu mahupun yang terkini.
Dalam tajuk pemulauan ekonomi, pemulauan barangan, atau sekatan bekalan, perkara ini termasuk dalam maksud jihad yang memberikan makna konsep yang luas dan umum daripada al-Quran dan Sunnah Nabawiah yang mentafsirkannya. Kemudian, konsepnya dipanjangkan oleh para ulama’ pada setiap zaman dengan mengambil iktibar ketika menghadapi musuh pada zaman Rasulullah SAW, melalui penurunan ayat al-Quran yang menjadi petunjuk sepanjang zaman serta dihuraikan oleh hikmah Sunnah Nabawiah.
Antaranya ialah firman Allah SWT:
﴿ٱنفِرُواْ خِفَافٗا وَثِقَالٗا وَجَٰهِدُواْ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٤١﴾
“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” [Surah al-Tawbah: 41]
Berjihad hendaklah dengan harta dan jiwa raga. Dengan harta itu adalah dengan memberikan sumbangan bagi persediaan dan bekalan kepada yang menegakkan Islam untuk memenangkannya secara damai atau melalui peperangan. Termasuklah berjihad dengan harta itu secara melemahkan musuh Islam dari segi ekonomi dan menyekat bekalannya.
Firman Allah SWT:
﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠﴾
“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa sahaja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui mereka; sedang Allah mengetahui mereka. Apa-apa sahaja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Sebahagian daripada kekuatan itu ialah harta sendiri dan melemahkan harta musuh.
Disebut dalam hadis yang sahih dan kitab sirah bahawa musuh Islam pernah memulaukan Rasulullah SAW dan keluarganya ketika Marhalah Makkiyyah.
Kemudian, disebut dalam Sahih al-Bukhari, bahawa Thumamah bin Uthal RA, seorang peniaga yang setelah memeluk Islam, beliau tidak mahu menjual gandum kepada mereka yang menentang Islam kecuali diizinkan oleh Rasulullah SAW.
Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah melakukan operasi menyekat rombongan Musyrikin yang berniaga ke Syam bagi menyekat ekonomi mereka. Seterusnya, Baginda menerima cadangan seorang sahabat supaya menyekat sumber air terhadap pasukan Musyrikin ketika berlakunya Perang Badar.
Di samping itu, Rasulullah SAW turut pernah memerintahkan supaya menebang pohon kurma dan membakar kebun tamar milik Yahudi Bani al-Nadir dengan perintah Allah SWT yang berfirman:
﴿مَا قَطَعۡتُم مِّن لِّينَةٍ أَوۡ تَرَكۡتُمُوهَا قَآئِمَةً عَلَىٰٓ أُصُولِهَا فَبِإِذۡنِ ٱللَّهِ وَلِيُخۡزِيَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٥﴾
“Apa-apa sahaja yang kamu tebang daripada pohon kurma (milik orang-orang kafir) atau yang kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas pokoknya, maka (semua itu) adalah dengan izin Allah; dan kerana Dia hendak memberikan kehinaan kepada orang-orang fasiq.” [Surah al-Hasyr: 5]
Tindakan tersebut sebagai tindak balas terhadap perancangan mereka yang berniat membunuh Rasulullah SAW. Walaupun hukum asal memusnahkan tanaman adalah tidak dibenarkan, tetapi dikecualikan dalam keadaan tertentu bagi melemahkan kekuatan ekonomi yang menyumbang kepada musuh yang melampau.
Demikian juga, kalangan munafiq pernah menganjurkan sekatan ekonomi terhadap umat Islam pada zaman Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
﴿هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُواْ عَلَىٰ مَنۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّواْۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَفۡقَهُونَ ٧﴾
“Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), ‘Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).’ Padahal kepunyaan Allah jua segala perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami.” [Surah al-Munafiqun: 7]
Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ جَٰهِدِ ٱلۡكُفَّارَ وَٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱغۡلُظۡ عَلَيۡهِمۡۚ وَمَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ ٩﴾
“Wahai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka! Tempat mereka ialah Jahanam dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [Surah al-Tahrim: 9]
Allah memerintahkan supaya membalas tindakan melampau musuh Islam dengan balasan yang setimpal dengannya. Firman Allah SWT:
﴿… فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ فَٱعۡتَدُواْ عَلَيۡهِ بِمِثۡلِ مَا ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ ١٩٤﴾
“…Oleh sebab itu, sesiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia seimbang dengan serangannya terhadapmu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.” [Surah al-Baqarah: 194]
Hal ini termasuk serangan ekonomi yang dilakukan oleh musuh Islam terhadap umat Islam, maka hendaklah membalas dengan tindakan ekonomi juga. Terdapat kalangan yang menyumbang kepada pihak musuh Islam, maka tindak balas terhadap mereka juga adalah diwajibkan.
Kalangan ulama’ yang menghadapi zaman Perang Salib selama beberapa abad, mereka menulis dalam kitab karangan mereka pada masa itu dengan memberikan semangat kepada seluruh umat Islam supaya memulaukan barangan musuh Islam yang menyumbang kepada tentera Salib yang menceroboh tanah air umat Islam.
Pada zaman penjajahan selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 dan penjajahan ekonomi oleh Syarikat Hindia Timur British dan Belanda, para pedagang Islam di Nusantara menubuhkan Sarekat Islam bagi menghadapi penjajahan ekonomi serta menjadi penyumbang kepada medan jihad bersenjata dan pendidikan.
Peperangan yang dilancarkan oleh Zionis kini terhadap Gaza dengan cara yang paling melampau, tanpa perikemanusiaan, dan tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa dimulakan dengan pendahuluan yang paling melampau oleh kumpulan Yahudi Zionis yang merampas bumi Palestin daripada penduduk asalnya, bangsa Arab yang kini menganut Islam.
Alasan mereka ialah bagi menubuhkan semula negara agung bangsa Yahudi yang pernah dipimpin oleh Nabi Sulaiman AS dan menjadi kuasa tunggal yang menguasai dunia. Zionis yang menguasai ekonomi dan media berjaya mempengaruhi kuasa besar dunia kini, khususnya Amerika Syarikat dan negara sekutunya Britain serta lain-lain negara yang menjadi penyokong kuat Israel dan membantu dengan pelbagai jenis senjata, termasuk senjata pemusnah.
Zionis juga menanam fahaman paling melampau bahawa bangsa Yahudi ialah manusia sebenar yang paling mulia. Adapun bangsa lain dinamakan mereka sebagai ‘goyim’ (binatang berwajah manusia), maka boleh dibunuh sewenang-wenangnya.
Kini, mereka melakukan tindak-tanduk di kemuncaknya apabila golongan pelampau Zionis menceroboh Masjid al-Aqsa dan mahu melakukan upacara membakar lembu merah. Mengikut kepercayaan mereka, mereka mahu menaburkan abu pembakaran tersebut di dalam Masjid al-Aqsa bagi upacara mendirikan Haikal (Kuil Agung) Sulaiman agama Yahudi di situ. Mereka mendapat bantuan senjata secara terbuka dan kewangan daripada negara Barat serta pihak yang menguasai ekonomi dan perdagangan.
Hamas bertindak cepat di luar dugaan terhadap Israel bersama semua kumpulan Islam dan kebangsaan Palestin, termasuk kumpulan yang beragama Kristian. Tindakan pantas yang dinamakan ‘Taufan al-Aqsa’ mengejutkan Israel sehingga negara yang menyokongnya datang bersatu dan bersekutu laksana bala tentera Ahzab yang menguji umat Islam, termasuk di Malaysia sehingga mendedahkan siapa yang sebenarnya beriman dan munafiq. Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan, serta kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)” [Surah al-Ahzab: 9–12]
Al-Quran ialah petunjuk sepanjang zaman yang berkekalan. Kini, peristiwa ini menyerlahkan hakikat semua kumpulan serta mendedahkan isi hati mereka secara lisan dan tulisan, termasuk tindakan mengikuti kumpulan yang didedahkan oleh Allah yang Maha Mengetahui.
Maka, umat Islam wajib mengambil tahu dan memahami serta menyertai bagi menghadapi mereka mengikut kedudukan masing-masing demi mempertahankan Islam dan umatnya dengan harta dan jiwa raga, termasuk melalui tindakan politik, ekonomi, media, dan ketenteraan. Maka, tindakan memulaukan barangan pihak yang menyumbang kepada Zionis adalah sangat penting.
Oleh sebab itu, tidak hairan apabila penyokong Zionis yang berada di Malaysia tidak dapat menyembunyikan apa-apa yang ada dalam hati mereka walaupun mengadakan banyak alasan. Sikap mereka nyata tidak senang dengan semangat rakyat Malaysia yang berkobar-kobar dan sanggup berjihad sehingga kanak-kanak pun mengangkat senjata mainan. Akan tetapi, ada yang menjadi syaitan membela keganasan Israel yang menyerang hospital, sekolah, dan asrama, selain membunuh rakyat yang sebahagian besar mangsanya ialah kanak-kanak, kaum wanita, dan pesakit yang sedang dirawat.
Mereka yang jahil murakab dalam perkara agama pernah dipergunakan oleh penjajah dahulu bagi memadamkan semangat jihad dan semangat menentang penjajahan yang ada dalam jiwa penganut Islam yang bersimpati dengan saudara seagama yang dizalimi secara melampau.
Media yang nyata memusuhi Islam memberi mereka yang jahil murakab itu tempat mendedahkan kejahilan melalui lisan dan tulisan, antaranya ialah tidak senang dengan doa dan qunut Nazilah yang sebenarnya boleh dijadikan doa di mana-mana sahaja. Keadaan ini mendedahkan kejahilan mereka berkenaan Islam yang boleh menjadi alat kepada bala penyokong Zionis, yang mendedahkan dan mengoyak topeng pada wajah mereka dengan tulisan dan lisan.
Rasulullah SAW menyanjung kanak-kanak yang menunjukkan kecintaan mereka kepada Islam kerana fitrah mereka yang bersih sehingga bersemangat jihad. Namun, mereka tidak dimatikan semangat, sebaliknya ditarbiah sehingga cukup umur mereka.
Mereka yang tidak beriman atau iman mereka berpenyakit itu meneruskan agenda penjajah pada zaman dahulu bagi melemahkan umat Islam dengan cara tidak membenarkan walaupun bersenjata purba yang kecil, kononnya menjauhkan sifat keganasan. Adapun mereka boleh pula bersenjata apa-apa sahaja dengan alasan ingin menjaga keselamatan. Tujuan sebenarnya hanyalah supaya umat lemah dan tidak bersedia manakala mereka pula sentiasa bersedia untuk membelasah umat Islam.
Malang bagi yang sudah berumur tetapi tidak ada kematangan beragama dan terhumban pula bersama musuh Islam sehingga mati bersama musuh itu. Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ ١١٨ هَـٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡـًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ١٢٠﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu! Mereka menyukai apa-apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa-apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sesungguhnya, telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. (118) Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit-gigit hujung jari antara marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119) Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui apa-apa yang mereka kerjakan. (120)” [Surah Ali ‘Imran: 118–120]
Firman Allah SWT kepada generasi awal yang menjadi pengajaran kepada umat Islam sepanjang zaman:
﴿مَا كَانَ لِأَهۡلِ ٱلۡمَدِينَةِ وَمَنۡ حَوۡلَهُم مِّنَ ٱلۡأَعۡرَابِ أَن يَتَخَلَّفُواْ عَن رَّسُولِ ٱللَّهِ وَلَا يَرۡغَبُواْ بِأَنفُسِهِمۡ عَن نَّفۡسِهِۦۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ لَا يُصِيبُهُمۡ ظَمَأٞ وَلَا نَصَبٞ وَلَا مَخۡمَصَةٞ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَطَـُٔونَ مَوۡطِئٗا يَغِيظُ ٱلۡكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنۡ عَدُوّٖ نَّيۡلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِۦ عَمَلٞ صَٰلِحٌۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٢٠ وَلَا يُنفِقُونَ نَفَقَةٗ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةٗ وَلَا يَقۡطَعُونَ وَادِيًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمۡ لِيَجۡزِيَهُمُ ٱللَّهُ أَحۡسَنَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٢١﴾
“Tidaklah sepatutnya bagi penduduk Madinah dan orang-orang Arab Badwi yang berdiam di sekitar mereka, tidak turut menyertai Rasulullah (berperang) dan tidak patut (pula) bagi mereka lebih mencintai diri mereka daripada mencintai diri Rasul. Yang demikian itu kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan, dan kelaparan di jalan Allah, dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya, Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik. (120) Dan mereka tiada menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) yang besar dan tidak melintasi suatu lembah, melainkan dituliskan bagi mereka (amal soleh pula), kerana Allah akan memberikan balasan kepada mereka yang lebih baik daripada apa-apa yang telah mereka kerjakan. (121)” [Surah al-Tawbah: 120–121]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Jumada al-Ula 1445 / 26 November 2023