Home Berita PAS Pahang

Isu bekalan elektrik dibangkit ADN Beserah dapat perhatian TNB

300
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 8 Apr : Masjid dan surau memerlukan bekalan elektrik yang mencukupi apabila berlakunya pembesaran ruang masjid dan pemasangan alat pendingin hawa sebagai penambahbaikan keselesaan jemaah, antara isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu dalam sidang Dewan Negeri Pahang baru-baru ini.

Menurut Andansura, masjid di Chengal Lempong dan Sungai Ular masih belum dapat menggunakan pendingin hawa sehingga sekarang sejak pemasangannya manakala di Cherating sering berlaku gangguan bekalan elektrik.

Menurut beliau, pihak jawatankuasa masjid pernah memohon dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar diadakan pemasangan meter yang baru namun pendawaian semula akan melibatkan kos yang tinggi.

Lanjutan dari itu, pihaknya telah membuat tindakan susulan dengan TNB yang kemudiannya telah memberi perhatian dan bersetuju agar Pejabat Pusat Khidmat DUN Beserah menyelaraskan pertemuan mereka dengan masjid-masjid yang terlibat.

Beliau seterusnya mengharapkan agar pertemuan itu nanti akan dapat menyelesaikan isu ini dan pihak TNB dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya bagi meningkatkan kuasa kemasukan bekalan elektrik ke masjid-masjid tersebut untuk memberikan keselesaan kepada jemaah beribadah.