Home Kenyataan Media PAS Selangor

Isu Air : Rakyat Selangor Berdepan Krisis Keperluan Asas Paling Utama

266 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS SELANGOR

ISU AIR : RAKYAT SELANGOR BERDEPAN KRISIS KEPERLUAN ASAS PALING UTAMA

Masalah Gangguan Air di Selangor makin kerap dan makin meruncing. Sebagai sebuah negeri termaju di Malaysia dengan kepadatan penduduk yang tinggi, Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan seharusnya lebih prihatin berkenaan impak masalah air kepada rakyat Negeri Selangor.

PAS Selangor melahirkan kerisauan kemungkinan masalah air ini akan berlarutan dan makin meruncing. Samaada ianya atas faktor pencemaran atau penambahbaikan. Dengan peningkatan kepadatan penduduk melangkaui 7 juta orang, kepenggunaan air akan terus meningkat dan sebarang gangguan bekalan air akan mengakibatkan krisis kemanusiaan yang amat dahsyat.

Anak-anak tidak dapat membersihkan diri, sekolah-sekolah terganggu dengan tandas yang kekeringan air, operasi kilang-kilang terganggu yang menyebabkan kerugian dengan nilaian yang besar. Ini antara implikasi gangguan bekalan air yang kerap.

PAS Selangor melahirkan rasa kesal bukan sahaja diatas kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan bertindakbalas segera terhadap gangguan ini, tetapi juga kegagalan Pakatan Harapan untuk menyediakan pelan mitigasi untuk menampung keperluan air bagi rakyat Selangor.

Rakyat Negeri Selangor merana akibat gangguan bekalan air minggu ini dan makin risau sekiranya gangguan-gangguan ini akan berlarutan menjadi krisis kemanusiaan.

Bagi menghadapi situasi ini, PAS Selangor mencadangkan agar satu paradigma (dicadangkan fasa perubahan drastik) pengurusan air sertamerta dan perancangan holistik jangka panjang perlu dirangka dan dilaksanakan segera. Pendekatan dan strategi yang lebih lasak – menangani perubahan cuaca dan demografi perlu diperkenalkan. Pemantauan berterusan dan penguatkuasaan efektif selari dengan teknologi air yang lebih lestari perlu dibangunkan dan digunapakai.

Selain itu, PAS Selangor juga menyarankan agar Kerajaan memandang serius pengurusan sumber air seperti memulihkan sungai-sungai tercemar dan pengurusan kawasan tadahan air dengan menghasilkan polisi multi-agensi dan multi-level. Pembangunan pengurusan air di Negeri Selangor seharusnya selaras dengan pembangunan ekonomi dan demografi negeri ini bagi mengelakkan krisis kemanusiaan di masa hadapan.

Pokoknya, PAS Selangor merasakan bahawa gangguan bekalan air minggu ini bukan sekadar isu mingguan, tetapi “symptom” bagi kemungkinan permasalahan yang lebih besar. Gangguan bekalan air yang kerap ini hanyalah “tip of the iceberg”.

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN

YB DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Selangor
19 Zulkaedah 1440H | 22 Julai 2019