Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Istiqamah Beramal Lahirkan J12K

294
SHARE

ISTIQAMAH BERAMAL LAHIRKAN J12K

1. Dewan Muslimat PAS komited untuk melahirkan amilin ‘AKIFI. Apa itu ‘AKIFI? ‘AKIFI adalah singkatan daripada ‘Alim – berilmu, Haraki – partisipasi atau menggerakkan aktiviti masyarakat dan Sufi – memiliki pegangan agama yang kuat.

2. Muslimat ‘AKIFI ialah muslimat yang ‘Alim, Haraki dan Sufi yang lahir daripada agenda pentarbiyahan PAS sebagai gerakan Islam secara berterusan dan bertanzim menuju kemenangan yang dicitakan. Dewan Muslimat PAS meletakkan kriteria ‘AKIFI sebagai penanda aras yang paling asas kepada seluruh ahli muslimat agar terus dapat menjalankan tugasnya di dalam dan luar rumahtangganya dengan penuh seimbang serta menjaga semua hak-hak yang telah ditetapkan oleh Islam.

3. Para muslimat mesti terus berani mara ke hadapan dengan semangat dan persiapan ‘AKIFI untuk mencapai kemenangan di dunia dan akhirat. Berusaha dan bekerjalah dengan penuh bersyariat. Penuhilah tanggungjawab kita dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab untuk Allah, diri, keluarga dan juga masyarakat serta dunia Islam khususnya.

4. Walaupun dalam suasana norma baharu, kita tidak boleh tinggalkan amalan-amalan untuk kita jadikan bekalan di akhirat nanti. Sewajarnya Kita membina kekuatan dalaman dan keperibadian masing-masing sewaktu kita tidak dapat melaksanakan aktiviti luaran dengan kekangan pendemik sekarang. Kalau tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua.

5. Dewan Muslimat PAS bukan sahaja sayap kiri PAS yang berjuang di medan politik tetapi bertanggungjawab memberikan tarbiyah kepada ahli, pendukung dan kepimpinan supaya faham dan sedar bahawa tanpa persiapan dan kekuatan diri setiap individu dalam PAS, agak sukar untuk mendaulatkan Islam di semua peringkat.

6. Bersama ini disertakan ringkasan amalan ‘akifi. Mari kita berusaha menjadi golongan yang suka beribadah dan termasuk sebagai hamba yang dekat dengan Allah. Berazam memperbaiki kelemahan diri dan membina potensi masing-masing untuk memberikan sumbangan terbaik kepada jamaah.

Semoga semua muslimat PAS dan pendukung PAS berusaha dan istiqamah dalam melaksanakan segala amalan-amalan ini.

Islam Memimpin, Wanita Sejahtera
Islam Memperkukuh Perpaduan

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor
Naib Ketua (Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan)
Dewan Muslimat PAS Malaysia
7 Oktober 2020 bersamaan 19 Safar 1442H