Home Berita PAS Terengganu

Isteri bilal terharu terima tunggakan elaun RM64,175 arwah suami

143
SHARE

KUALA TERENGGANU –  “Walaupun sudah enam tahun suami meninggal dunia, kerajaan negeri tetap berusaha mengembalikan hak kepada imam dan bilal. Terima kasih tidak terhingga kerana membantu saya sekeluarga dan mereka yang dinafikan hak sebelum ini,” kata Ngah Osman.

Ngah, 74, dari kampung Kolam Kuala Ibai, dekat sini, mengaku sebak dan terharu apabila menerima elaun tunggakan sebanyak RM64,175 bagi pihak arwah suaminya yang pernah berkhidmat sebagai bilal di masjid kampung itu dan disifatkan sebagai rezeki tidak disangka-sangka.

Katanya, arwah suami Ismail Abas yang juga seorang nelayan meninggal dunia setelah 12 tahun menderita sakit jantung diusia 74 tahun.

“Syukur sangat dengan bayaran tunggakan elaun ini, saya berniat untuk gunakannya bagi mengerjakan umrah,” ujarnya ketika ditemui pemberita, semalam.

Terdahulu, ibu kepada empat anak itu menjadi antara 12 penerima di Majlis Penyerahan Elaun Tunggakan Imam Dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul iman, disini.

Bayaran tunggakan itu disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melibatkan peruntukan sebanyak RM242,925.

Sementara itu, Mohd Zulkifli Kadir, 52, yang bertugas sebagai Imam Masjid Kampung Bukit Puteri Dalam, Besut turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan kerajaan negeri.

“Saya amat terharu dengan pemberian ini. Bermula 2005 hingga 2011 saya berkhidmat dengan rela hati. Bayangkan, elaun bulanan tidak dibayar tanpa sebarang notis ketika itu.

“Terima kasih khususnya kerajaan yang baru ini kerana cakna terhadap rakyat,” katanya.

Menurut Zulkifli, sebagai imam yang hanya membuat kerja-kerja kampung untuk menambung kehidupan seharian, pemotongan elaun ketika itu amat memberi kesan kepada dia sekeluarga.

“Anak ramai dan ada yang masih bersekolah, memang terasa bila elaun sebagai imam dipotong, sepatutnya ia tidak berlaku, lebih-lebih lagi kita sesama Islam,” ujarnya.

Untuk rekod, kerajaan negeri telah melunaskan elaun 54 imam dan bilal yang tertunggak tanpa sebab musabab bermula 2005 hingga 2018, membabitkan pembayaran berjumlah lebih RM3 juta.

Jumlah tunggakan elaun imam serta bilal itu bergantung pada tempoh perkhidmatan dan ada antara mereka yang sudah meninggal dunia.